BANGKOK – Kementerian Pengangkutan Thailand berkata bahawa beribu-ribu penumpang memenuhi lapangan terbang di seluruh negara itu untuk melancong selepas kerajaan Thailand melonggarkan perintah berkurung Covid-19 minggu ini, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Menurutnya, lebih 7,000 penumpang berkumpul di 14 buah lapangan terbang yang dibuka semula di seluruh Thailand untuk menaiki kira-kira 130 penerbangan selepas Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 melonggarkan perintah berkurung nasional Rabu lalu.
Tambah kementerian sama, lebih 2,000 orang warga Thailand menaiki 14 penerbangan di tujuh lapangan terbang dan hampir 4,500 penumpang melakukan perjalanan melalui enam lapangan terbang lain.
Sebahagian besar penerbangan dilaporkan terpaksa dibatalkan selepas Phuket memutuskan untuk tidak membuka semula pintunya kepada pengunjung tempatan sehingga Rabu ini.
Pengarah Lapangan Terbang Phuket, Thanee Chuangchoo berkata wilayah itu menangguhkan pembukaan semula kepada pengunjung tempatan selepas kluster jangkitan Covid-19 baharu ditemui dalam kalangan pendatang asing Myanmar yang menyelinap masuk ke Phuket.
Pulau itu merekodkan kes harian baharu yang meningkat daripada dua kepada 200 kes. dan berkata Phuket dijangka akan dibuka semula kepada pengunjung bermula 8 September ini.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah Air Asia Thailand memaklumkan kembali memulakan 11 penerbangan domestik bermula Khamis lalu selepas Lembaga Penerbangan Awam Thailand melonggarkan sekatan perjalanan.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu mengatakan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan penumpang yang tidak memakai pelitup muka dengan untuk menaiki penerbangan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di dalam pesawat.
Air Asia Thailand berkata langkah itu sesuai dengan cadangan yang dibuat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Agensi