JOHOR BAHRU – Tindakan tiga lelaki warganegara India yang cuba memberi rasuah berupa wang tunai kepada anggota polis membawa padah setelah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.
Kesemua suspek itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
SPRM Johor dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.
Menurutnya, kesemua suspek itu ditahan polis kerana melakukan kesalahan berkumpul dan telah melanggar Peraturan Pelan Pemulihan Negara 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Susulan itu, salah seorang suspek telah memberi wang rasuah sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan terhadap mereka.
“Perbuatan itu menyebabkan SPRM Johor telah menahan tiga orang warganegara India kerana kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929