fbpx

Ibu menangis Abdul Latif menang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salmah (kanan) bersama Romly (dua dari kanan) serta ahli keluarga Abdul Latif menyaksikan acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

PADANG BESAR – Ibu kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly menangis kegembiraan apabila anaknya berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik 2020 pada temasya di Tokyo sebentar tadi.

Menurut Salmah Yatim, 64, dia amat berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu yang telah menyumbangkan emas buat negara.

“Saya gembira kerana dia dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia apabila dapat menghadiahkan pingat emas pada kali ini.

“Bagaimanapun, saya sedih dan risau dengan keadaan Latif apabila dia terjatuh semasa membuat lompatan kelima tadi, harap dia tidak alami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri dekat sini hari ini.

Anak jati Kampung Paya Jati, Bukit Keteri itu menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) selepas menewaskan 11 peserta lain dengan membuat lompatan pada jarak 7.45 meter.

Sementara itu, bapanya, Romly Mat, 70, berkata, dia berbangga kerana ia adalah kali kedua anaknya itu merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik selepas di Rio, Brazil pada 2016.

Dia yang bekerja sebagai penoreh getah sudah bernazar ingin membotakkan kepalanya jika anak ketujuhnya itu memenangi pingat emas.

“Selepas ini saya akan cukur kepala sebab dah bernazar. Dahulu pun saya buat perkara yang sama juga.

“Memang kami rindu sangat dekat dia sebab kali terakhir berjumpa adalah pada Disember tahun lalu,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI