fbpx

Kipchoge legenda maraton dunia hidup sederhana, rendah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KISAH kehebatan atlet yang turut bertanding di Olimpik Tokyo ini turut mencuri perhatian sehingga difilemkan.

SEAWAL pukul 5.30 pagi, seramai 30 atlet larian jarak jauh sudah berkumpul di depan pintu pagar kem latihan yang terletak di Kaptagat, Kenya.

Sebaik selesai melakukan regangan, kumpulan pelari tersebut memulakan latihan sesi pagi dengan berlari sejauh 40 kilometer (km) di atas jalan tanah merah berdebu.

Kaptagat menjadi pilihan latihan memandangkan kawasan perkampungan terpencil itu menawarkan banyak faedah kepada pelari jarak jauh terutama dalam aspek pernafasan.

Hal ini memandangkan perkampungan itu mempunyai udara nipis disebabkan kedudukannya di kawasan tanah tinggi iaitu 2,439 meter (m) dari aras laut.

Dalam kesejukan tanah tinggi serta suasana kegelapan pagi, sekurang-kurangnya 50 peminat tempatan sudah berdiri di tepi jalan bagi menanti kehadiran kumpulan pelari berkenaan.

Para peminat ingin melihat aksi salah seorang atlet dalam kumpulan berkenaan iaitu pelari maraton terbaik dunia, Eliud Kipchoge.

Lelaki berusia 36 tahun berasal dari Kaptagat itu merupakan atlet paling popular di Kenya selepas berjaya mencatat nama dalam Guinness World Records bagi acara maraton dengan catatan masa 1:59:40.

KEHEBATAN Kipchoge terserlah selepas mencatat masa bawah dua jam dalam acara maraton 42km
di Vienna, Austria pada Oktober 2019.

Beliau menjadi manusia pertama di dunia yang mencatatkan masa di bawah dua jam dalam acara maraton 42km yang dilakukannya di Vienna, Austria pada Oktober 2019.

Bagaimanapun, catatan berkenaan tidak diterima sebagai rekod rasmi maraton kerana dilakukan dalam persekitaran simulasi yang diiringi sebuah kereta sambil dibantu sekumpulan pelari.

“Selepas kejayaan Roger Bannister melakukan larian satu kilometer dengan catatan masa empat minit pada 1954, saya memerlukan tempoh 63 tahun untuk menyamai pencapaian tersebut.

“Kejayaan ini diharap memberi inspirasi kepada semua bahawa tidak ada manusia yang terbatas. Misalnya, guru dapat menghasilkan keputusan baik di sekolah dan jurutera berpeluang melakukan banyak projek,” katanya selepas kejayaan di Vienna.

Kipchoge juga diiktiraf sebagai pelari maraton terbaik sepanjang zaman dengan memenangi 12 daripada 13 kejohanan maraton disertainya termasuk empat kali menjadi juara maraton London.

Justeru tidak hairanlah, gambar Kipchoge boleh dilihat di mana-mana sahaja sekitar Kenya sama ada pada papan iklan, siaran berita atau potongan kadbod. Malah, tanda pagar ‘Tidak ada Manusia Terbatas’ turut trending dalam media sosial.

ATLET hebat berusia 36 tahun dari Kenya ini lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana biarpun bergelar bintang sukan.

Mengimbau kembali perjalanan karier pelari maraton legenda itu, segala bermula secara tidak sedar apabila Kipchoge sering berlari ulang-alik sejauh empat kilometer dari rumah ke sekolah setiap hari.

Larian itu telah melatih kecergasan kardiovaskular Kipchoge menjadi luar biasa, selain aktiviti pertanian dilakukannya pada hujung minggu.

Sewaktu remaja, Kipchoge menghabiskan masa mengangkut susu lembu dengan basikal. Beliau mengayuh basikal sejauh 40km dari rumahnya ke bandar berhampiran untuk menghantar susu kepada peniaga pada hujung minggu.

“Ketika masih kecil, saya tidak tahu sebab saya berlari. Saya rasa, ia merupakan perkara yang harus dilakukan,” ujarnya.

Sewaktu berusia 18 tahun, kehidupan Kipchoge berubah selepas bertemu dengan Patrick Sang yang menawarkan rancangan latihan bagi mengembangkan bakatnya.

Kipchoge membuat debut dalam acara larian jarak jauh pada tahun 2003 dengan kejayaan luar biasa apabila berjaya menewaskan dua pelari terbaik acara 5,000m, Kenenisa Bekele dan Hicham El Guerrouj.

Selepas kejayaan itu, dia tidak menoleh kebelakang lagi apabila berjaya memenangi pingat gangsa acara 5,000m pada Olimpik Athens dan pingat perak di Olimpik Beijing.

Pada tahun 2012, Kipchoge mengalami masalah hamstring sehingga mendorong dia beralih ke maraton selepas gagal melayakkan diri ke Olimpik London.

SEMASA berada di kem latihan, Kipchoge gemar membaca buku berbentuk motivasi untuk mengubah diri menjadi orang berjaya dalam hidup.

Sewaktu penampilan sulungnya dalam maraton Hamburg, Jerman, pada 2013, dia berjaya meninggalkan pesaing terdekatnya lebih daripada dua minit, selain mencatat masa peribadi terbaik.

Dari 2014 hingga 2019, Kipchoge memenangi hampir semua pingat emas acara maraton utama dunia, selain memenangi pingat emas acara maraton Olimpik Rio dan Olimpik Tokyo.

Malah, Kipchoge berjaya memecahkan rekod maraton sebenar ketika Maraton Berlin 2018 dengan catatan 2:01:39.

Pakar Global Sport Communication yang juga pengurus Kipchoge, Valentijn Trouw berkata, atlet ‘jagaannya’ itu memiliki fikiran yang jelas, teratur dan stabil.

“Dia mempunyai buku yang mencatatkan semua latihannya. Jadi ketika acara maraton, dia melihat kembali latihan yang telah dilakukan sepanjang empat bulan terakhir. Ia memberi lebih keyakinan kepada dirinya,” katanya.

Walaupun berjaya mencapai status bintang dalam kariernya, namun kehidupan harian dilalui Kipchoge kekal sederhana dan bebas daripada sebarang gangguan.

Kipchoge memilih untuk tinggal di asrama kem latihan, meskipun rumahnya terletak tidak jauh dari situ bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada latihan.

“Kem ini didirikan untuk atlet pelapis yang mengalami masalah kewangan. Kami berpendapat, apabila seseorang atlet itu sudah berjaya, mereka harus tinggal di luar.

“Namun, Kipchoge berbeza, dia memilih tinggal di kem latihan yang serba sederhana kerana menyedari sukar melakukan sesi latihan secara bersendirian,” ujar Trouw.

KISAH kejayaan luar biasa dan perjalanan hidup pelari jarak jauh itu didokumetarikan oleh penerbit filem Barat menerusi judul Kipchoge: The Last Milestone.

Bagi Kipchoge, dia berasa sangat selesa tinggal di kem larian kerana dia boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada larian dan pulang ke rumah ketika cuti hujung minggu.

“Menjauhkan diri daripada anak-anak sangat sukar kerana mereka sentiasa ingin bersama saya. Tetapi saya perlu tinggal di kem supaya kekal bermotivasi,” katanya.

Sewaktu tinggal di kem latihan, Kipchoge mempunyai hobi membaca buku-buku motivasi. Naskhah paling digemarinya adalah Stephen Covey’s The 7 Habits of Highly Effective People.

Buku berkenaan sering dibaca oleh individu proaktif cenderung mengubah diri mereka menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan.

Kenya mempunyai banyak kisah kejayaan atlet luar biasa. Malah, ramai atlet terutamanya pelari jarak jauh berubah 100 peratus selepas mengecapi kemasyhuran.

Sebaliknya, Kipchoge selesa merendah diri meskipun bergelar jaguh dunia dalam acara maraton.

“Sekiranya orang lain yang memecahkan rekod maraton di bawah dua jam, pastikan diadakan parti besar. Sebaliknya, Kipchoge pulang ke kem latihan dengan minum secawan teh bersama atlet lain.

“Orang-orang di sekelilingnya tertanya-tanya faktor yang membolehkan Kipchoge mencatatkan masa luar biasa. Dia memilih mendiamkan diri sambil tersenyum,” cerita Trouw.

Salah seorang atlet muda yang tinggal bersama di kem dengan Kipchoge ialah Geoffrey Kamworor menyifatkan Kipchoge sebagai atlet luar biasa.

“Kipchoge umpama seorang abang kepada saya. Saya sentiasa pastikan dapat berada di sekelilingnya agar boleh mengikut jejak langkahnya. Dia adalah model kepada saya.

“Dia sangat berdisiplin ketika latihan. Dia memberitahu, saya perlu mengikut nasihat jurulatih dan fokus pada latihan jika ingin menjadi atlet terbaik. Dia benar-benar pelari hebat,” katanya.

Kejayaan Kipchoge tidak datang dengan mudah, malah dia pernah dituduh menggunakan dadah bagi mencapai prestasi luar biasa. Bagaimanapun, Kipchoge menafikannya.

Pendekatan diambil oleh Kipchoge ternyata berteknologi rendah. Beliau hanya minum susu dari lembu yang berkeliaran dan menjamah ugali (bubur tradisi Kenya) yang disediakan tukang masak di kem latihannya.

“Saya tidak menghadapi masalah dengan badan saya. Jadi, saya tidak perlu menambah sebarang suplemen. Apabila umur semakin tua, masa untuk pulih semakin lama, tetapi semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

Selepas kerjayanya berakhir kelak, Kipchoge memasang impian memulakan perniagaan dengan membuka kedai sukan sambil membantu mencari bakat baharu dalam acara maraton.

“Saya benar-benar ingin berpengaruh dalam bidang olahraga, menjadi legenda serta contoh kepada kanak-kanak.

“Saya ingin mengelilingi dunia serta mendidik kanak-kanak mengenai pentingnya budaya bersukan,” katanya.

Kisah kejayaan luar biasa dikecapi pelari maraton terbaik sepanjang zaman, Eliud Kipchoge menarik perhatian dunia terutamanya para pencinta sukan.

Ramai ingin mengetahui rahsia kejayaan atlet berasal dari Kenya itu mencatatkan masa di bawah dua jam dalam acara maraton sejauh 42.195 kilometer (km).

Tidak hairanlah, naskhah biografi mengenai pelari berusia 36 tahun itu, No Human is Limited laris seperti pisang goreng panas sewaktu pertama kali diterbitkan pada Februari tahun lalu.

Terbaharu, kisah kejayaan luar biasa dan perjalanan hidup pelari jarak jauh itu didokumetarikan oleh penerbit filem Barat menerusi judul Kipchoge: The Last Milestone.

Filem yang dilancarkan menerusi platform digital itu telah menemui penonton di United Kingdom dan Amerika Syarikat pada 24 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN