fbpx

Staf kesihatan cedera dikejar pesakit guna cangkul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Dungun yang cedera akibat terjatuh selepas dikejar pesakit Covid-19 di Kampung Baru Serdang, Dungun semalam.

DUNGUN – Seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Dungun cedera selepas terjatuh ketika dikejar seorang pesakit Covid-19 dengan sebatang cangkul di Kampung Baru Serdang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa yang merupakan Inspektor Kesihatan dikejar suspek berusia 40 tahun tersebut ketika berkunjung ke rumah lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian lelaki berusia 39 tahun telah diarahkan untuk melakukan penilaian kesihatan terhadap suspek.

Beliau berkata, lelaki yang positif Covid-19 itu dilaporkan telah melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada Isnin lalu.

“Sebaik sahaja mangsa memperkenalkan diri sebagai Inspektor Kesihatan, suspek yang bekerja sebagai buruh enggan memberi kerjasama.

“Dia tiba-tiba naik berang sebelum mengejar kakitangan kesihatan tersebut dengan sebatang cangkul. Mangsa yang ketakutan lari untuk menyelamatkan diri sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Difahamkan, suspek yang sepatutnya menjalani kuarantin di PKRC Bersepadu Stadium Negeri Kuala Terengganu sehingga 6 September ini telah melarikan diri pada Isnin lalu.

Baharudin berkata, mangsa yang cedera pada bahagian bibir, dagu dan kedua-dua telapak tangan selain sumbing gigi bahagian atas akibat terjatuh kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi untuk menerima rawatan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI