fbpx

Kalau jadi lagi saya akan lapor polis – Ummi Nazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMMI NAZEERA beri amaran mahu buat laporan polis jika masih ada pihak menggunakan namanya untuk tujuan penipuan.

PETALING JAYA – Pelakon Ummi Nazeera menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan atau scammer yang menggunakan namanya untuk tujuan keuntungan peribadi.

Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia menyedari tentang kewujudan sindiket tersebut sejak awal tahun ini selepas diberitahu pengikut dalam Instagram.

“Saya dapat tahu tentang sindiket scammer yang menggunakan nama saya ini sejak awal tahun lagi. Tapi saya tidak buat apa-apa tindakan. Cuma saya ada berkongsi perkara ini dalam Instagram untuk mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

“Ingatkan perkara ini sudah berhenti. Tapi rupanya masih lagi terjadi,” ujarnya.

Kata pelakon filem Kerana Korona itu lagi, dia tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika namanya lagi sekali digunakan untuk tujuan penipuan.

“Kalau nama sama digunakan lagi untuk menipu orang ramai, saya akan buat laporan polis,” tegasnya.

Ummi mengakui sangat marah apabila namanya digunakan untuk menipu orang ramai, sekali gus boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai artis.

“Sudah tentu saya marah. Seolah-olah saya pula yang menipu. Saya sendiri tidak tahu sudah berapa ramai menjadi mangsa sindiket penipuan ini,” katanya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Ummi mendedahkan terdapat satu sindiket penipuan telah menggunakan namanya untuk memberi hadiah berupa telefon pintar secara percuma dengan syarat-syarat tertentu.

“Saya pernah berkongsi dalam InstaStory saya tentang hal ini beberapa bulan yang lalu. Tetapi masih ramai lagi yang menghantar mesej kepada saya berkenaan tawaran memenangi iPhone secara percuma.

“Ini bukan saya. Jadi tolong jangan kongsi maklumat peribadi anda. Ada sesiapa lagi yang kena begini? Berhati-hati ya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ummi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak cepat percaya dengan apa-apa tawaran menarik yang dihantar menerusi laman sosial supaya tidak menjadi mangsa ditipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI