KOTA BHARU – Polis merampas 11 laras senapang tiruan dan peluru plastik yang dipercayai digunakan oleh enam lelaki untuk mereka bermain paintball di sebuah kilang padi terbiar di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini kelmarin.
Kesemua suspek yang berusia 14 hingga 39 tahun itu ditahan ketika mereka sedang leka bermain dan menembak antara satu sama lain di kilang berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, kesemua lelaki itu dipercayai menjadikan senapang yang telah diubah suai untuk bermain permainan paintball dengan menggunakan peluru plastik.
Katanya, siasatan mendapati, 11 laras senapang itu telah diubah suai menyerupai senjata api jenis M16 dan AK47 yang dipercayai dibeli secara dalam talian pada harga RM200 hingga RM500 selaras.
“Berdasarkan keterangan suspek, mereka dipercayai menjadikan kilang berkenaan tempat permainan seakan paintball itu sejak dua bulan lalu.
“Siasatan turut mendapati, setiap seorang suspek menggunakan satu hingga dua laras senapang untuk digunakan sepanjang permainan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, senapang itu dipercayai diperbuat dari China dan Hong Kong berdasarkan tulisan yang tertera pada badan senjata tersebut.
Katanya, berdasarkan siasatan lanjut, empat suspek yang berusia 32 hingga 39 tahun itu bekerja sendiri dan berniaga selain mereka menggunakan senjata tersebut hanya sebagai permainan tanpa melibatkan sebarang unsur perjudian.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati keenam-enam suspek negatif dadah dan mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas direman selama dua hari.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka sama ada senapang itu digunakan untuk kegiatan jenayah atau sebaliknya,” katanya.
Tambah Abdul Rahim, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929