fbpx

Lelaki ‘sado’ jaga emas, permata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilik kedai emas SY Fawwaz di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi menggunakan khidmat enam pekerja lelaki untuk melayan pelanggan selain bertujuan menjaga keselamatan barangan jualan. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

BANGI – Pemilik sebuah kedai emas di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini menggunakan enam jurujual lelaki sepenuhnya sebagai usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan di premis itu daripada kejadian tidak diingini.

Pengarah Urusan Emas SY Fawwaz di Bangi, Suhaida Yusoff berkata, kesemua jurujual itu bukan sahaja berpengetahuan mengenai emas, malah diberikan latihan keselamatan bagi memastikan mereka boleh bertindak dengan tepat sekiranya berlaku kejadian tidak diduga.

“Soal keselamatan merupakan antara aspek yang paling dititikberatkan. Selain penggunaan teknologi seperti televisyen litar tertutup, kami ambil pendekatan ini (jurujual lelaki).

“Setiap jurujual yang diambil kami akan pastikan mereka menepati kriteria tertentu, antara­nya umur, ketinggian dimiliki serta fizikal,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Tambahnya, pekerja itu juga diberikan latihan khidmat pe­langgan dan mengendalikan pelbagai promosi termasuk di media sosial seperti TikTok dan Instagram.

Dua pekerja lelaki melayan seorang pelanggan wanita yang datang ke Kedai Emas SY Fawwaz, Bandar Baru Bangi.

Menurut Suhaida, semua pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard dan tidak akan berlaku sentuhan dengan pe­langgan.

“Ada juga pekerja wanita yang ditugaskan untuk melayan pe­langgan orang kenamaan dan menjaga media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kedai Emas Ismail, Suhaimi Ismail tidak menafikan bahawa jurujual atau pekerja lelaki yang ramai di dalam sesebuah premis mampu mengurangkan risiko kedai tersebut dirompak.

“Bagaimanapun, dalam situasi seperti rompakan, mana-mana pekerja pun tanpa mengira jantina akan panik. Premis saya pernah dirompak pada 2016 dan ketika itu ada empat pekerja iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

“Bezanya antara pekerja lelaki dan wanita, mungkin lelaki tidak mudah panik, lebih berani dan boleh menilai dengan cepat semasa suatu kejadian berlaku,” katanya.

Kakitangan Kedai Emas SY Fawwaz menyusun barang kemas untuk dijual.

Pada masa sama, katanya, dia tidak menolak idea untuk menambah bilangan pekerja lelaki di premisnya, namun bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

Sementara itu, jurucakap Kedai Emas UMI turut mengakui bahawa kehadiran pekerja lelaki meningkatkan aspek keselamatan di sesebuah premis perniagaan.

Katanya, di premis mereka sendiri turut menggunakan khidmat dua tukang emas lelaki, namun pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk meningkatkan bilangan pekerja daripada jantina berkenaan.

“Sudah tentu dengan adanya lebih ramai pekerja lelaki akan membantu daripada sudut ke­selamatan, namun kami percaya lokasi kedai ketika ini iaitu di dalam Kompleks PKNS Bangi adalah selamat,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI