fbpx

Kepimpinan pelajar Universiti Awam sokong pelantikan Noraini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINI telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk menjaga kebajikan pelajar ketika berdepan dengan cabaran getir pandemik Covid-19.

PETALING JAYA – Pelantikan semula Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi mendapat sokongan padu kepimpinan pelajar Universiti Awam (UA).

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan semula Noraini merupakan satu tindakan positif oleh kerajaan.

“Ia merupakan tindakan positif dalam memastikan dasar dan agenda dapat diteruskan selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata kenyataan itu.

MPP Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, Noraini telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan pelajar sepanjang tempoh pandemik.

Justeru, kata MPP UTeM, pelantikan semula Ahli Parlimen Parit Sulong sebagai Menteri Pengajian Tinggi akan membolehkan pelbagai inisiatif dapat diteruskan dan diperkasakan.

Bagi MPP Universiti Malaysia Pahang (UMP), Noraini berupaya memahami denyut nadi mahasiswa dan pemegang taruh yang lain.

“Noraini berusaha meningkatkan kecemerlangan pengajian tinggi negara di samping mengutamakan kebajikan mahasiswa,” kata MPP UMP.

Noraini Ahmad

MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula yakin Noraini dapat menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam kalangan mahasiswa dengan cemerlang.

“Sebagai contoh operasi membawa pelajar pulang ke kampung masing-masing semasa pandemik melibatkan seramai 80,000 mahasiswa sebelum ini,” kata MPP UPSI.

MPP Universiti Sains Malaysia pula berpendapat Noraini akan meneruskan kesinambungan dasar-dasar yang pernah diperkenalkan beliau sebelum ini.

Antaranya bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk memberi vaksin kepada warga pengajian tinggi bagi mewujudkan gelembong kampus supaya suasana lebih selamat.

Kata MPP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Noraini telah menunjukkan kematangan dalam menempuh tempoh yang mencabar semasa menangani permasalahan mahasiswa di era pandemik Covid-19.

“Keprihatinan beliau terhadap kebajikan mahasiswa di IPT seluruh Malaysia tidak dapat dinafikan. Sentiasa mendengar suara mahasiswa yang dibawa oleh barisan kepimpinan mahasiswa,” kata MPP UMT.

MPP Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut menyifatkan pelantikan semula Noraini sebagai Menteri Pengajian Tinggi sebagai suatu yang amat positif.

Jelas MPP UMK, ia bagi memastikan matlamat serta aspirasi pengajian tinggi negara dapat diteruskan setanding dengan negara maju yang lain.

Selain itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik semula Noraini sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“GPMS berpandangan perlantikan tersebut akan melancarkan proses penyusunan semula dan meneruskan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang selama ini telah disusun bagi berhadapan dengan implikasi wabak Covid-19 terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” kata GMPS.

Begitu juga Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik pelantikan semula Ahli Parlimen Parit Sulong sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

MPPK turut bersetuju pelantikan Noraini akan meneruskan kesinambungan dasar-dasar yang pernah diperkenalkan Noraini sebelum ini.

“Noraini juga sentiasa mendengar pandangan dan luahan mahasiswa dengan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak.

“Maka MPPK merasakan Noraini akan dapat terus memimpin KPT dengan lebih baik dan akan meneruskan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada mahasiswa,” kata MPPK.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI