fbpx
RAKYAT negara ini perlu sentiasa menonjolkan jati diri bangsa dalam setiap aspek kehidupan harian. – GAMBAR HIASAN

Capai kemajuan dengan menyemai budaya merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ERTI kemerdekaan bagi generasi muda di negara ini perlu diberi penekanan dan diperjelaskan agar mereka terus teguh mempertahankannya dengan acuan budaya Malaysia.

Dalam hal ini, sambutan kemerdekaan negara adalah simbol yang mencerminkan hati nurani rakyat dalam menjalinkan semangat bekerjasama, pembentukan jati diri dan semangat toleransi yang tinggi.

Kita tidak mahu terus dijajah dalam bentuk baharu seperti pemikiran dan gaya hidup yang bertunjangkan budaya Barat yang sudah pasti akan menghilangkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan kesopanan dan sifat tolak ansur.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

Oleh Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali

MERDEKA! Merdeka! Merdeka!

Laungan keramat itu yang bergema memenuhi ruang Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tanggal 31 Ogos 1957 merupakan lambang jati diri rakyat Malaysia yang melestarikan jiwa merdeka, selain mewujudkan keharmonian dalam kalangan etnik Malaysia yang pelbagai.

Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan simbol yang mencerminkan hati nurani rakyat Malaysia dalam menjalinkan semangat bekerjasama, pembentukan jati diri dan semangat toleransi yang tinggi.

Kita percaya, sejak laungan merdeka itu, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu belum tercabut ‘akar’ keislamannya.

Tidak salah menoleh kepada sejarah untuk memperteguhkan asas pengukuhan tamadun dan peradaban bangsa.

Sejarah mengajar kita bahawa memutuskan diri dari akar budaya sendiri dan menerima budaya asing secara total tidak dapat menjadikan sesuatu bangsa itu kuat dan maju.

Justeru, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu perlu sentiasa menonjolkan keperibadian yang kukuh dan berpijak kepada jati diri bangsa dan budaya Islam yang jitu dalam mengemudi negara.

Sehubungan itu, setiap daripada kita hendaklah teguh mempertahankan akar budaya tradisi sendiri.

Istilah budaya tidak terbatas kepada maksud seni dan hiburan semata-mata.
Realitinya, budaya merupakan suatu isu yang serius mencakupi bidang yang amat luas meliputi soal falsafah, pemikiran, ilmu, kesenian, artifak dan aspek-aspek cara hidup lainnya.

Namun, pengertian yang semakin sempit dan dangkal telah meletakkannya hanya sebagai satu istilah yang mengungkapkan soal kesenian dan hiburan.

Budaya memahamkan kita mengenai dasar-dasar kehidupan dan masa depan rakyat.

Dengan ungkapan lain, rakyat Malaysia yang diperbaharui komitmen keyakinan dan peradaban melalui proses transformasi manusiawi yang memberikan jiwa dan citra baharu.

Suatu revolusi budaya yang memberikan nilai-nilai dinamik dan sebuah revolusi intelektual yang mengakhiri zaman budaya tahyul dan memulakan tamadun dan peradaban ilmu.

Kita sedia maklum, ilmu pengetahuan mengenal Tuhan adalah paling tinggi dan teragung, apatah lagi dalam perspektif ilmu akidah Islam.

Hal ini kerana setiap individu yang mengimani Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang Maha Esa memiliki jiwa merdeka yang mampu memajukan bangsanya.

Pastinya bangsa yang bebas daripada jiwa perhambaan mampu menghasilkan cita-cita dan daya usaha tinggi untuk memajukan diri.

LAUNGAN keramat merdeka oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 adalah detik bersejarah negara yang perlu dikenang sepanjang masa oleh setiap anak Malaysia.

Dalam hal ini, Islam berjaya merombak pola daripada bentuk hubungan raja-dewa dan hamba kepada bentuk hubungan antara pemerintah yang terikat dengan nilai pemeliharaan dan keadilan serta rakyat yang terikat dengan kesetiaan.

Ini menggambarkan bahawa pemerintahan adalah berorientasikan tugas dan tanggungjawab, bukannya kemewahan dan hiburan.

Rakyat dilayan sebagai individu yang mempunyai hak dan harga diri.

Bertitik-tolak daripada ini juga, kita lihat rakyat Malaysia telah memanifestasikan jiwa merdeka dalam kebangkitan penentangan penjajahan seawal abad ke-16 menentang Portugis, Belanda dan Inggeris.

Perasaan cinta dan taat setia kepada tanah air serta ingin membebaskan negara daripada penjajahan ini dirujuk sebagai semangat kebangsaan dan ingin memastikan jiwa merdeka terus ‘hidup’.

Ini kerana, tanpa jiwa merdeka, sesuatu bangsa itu tidak mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya.

Hasrat menjadi negara serba maju hanya tinggal impian seandainya tidak dimulakan ke arah pembinaan kualiti bangsa, termasuk kualiti jiwa merdeka.

Kita tidak nafikan, penjajahan turut meninggalkan kesan penjajahan hamba dalam kalangan segelintir rakyat yang masih mengagumi Barat sehingga sanggup menjalani gaya hidup ala lnggeris.

Bahkan, segelintir mereka turut terlalu bergantung kepada bangsa lain dalam mencapai kemajuan.

Justeru, setiap rakyat Malaysia wajar bersedia untuk membuang unsur jiwa hamba yang masih tersisa.

Untuk memungkinkan pertumbuhan jiwa merdeka, wajar diwujudkan iklim dan budaya bercirikan kebebasan, persamaan dan keadilan.

Ia merupakan nilai sejagat yang wujud dalam setiap ketamadunan bangsa dan agama dunia.

Unsur yang bersifat budaya feudalistik wajar ditinggalkan termasuklah pendewaan terhadap seseorang tokoh dengan upacara yang keterlaluan dan berlebihan dalam suasana yang menonjolkan perbezaan status feudalnya.

Ini bererti, kualiti jiwa merdeka mampu mewujudkan manusia madani dan adil serta mampu berkongsi bersama bangsa lain.

Ini bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang maju berteraskan nilai universal, kesejagatan ketamadunan dan budaya serta kesatuan.

———————————————————————————
Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali bertugas di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN