CELOTEH mesra Wan Mohd. Zulkarnain Wan Zulkifli, 52, atau popular dengan nama Deejay Wan Zool ketika ke udara di radio Media Sosial Kampung Delek (MSKD.fm) cukup menghiburkan para pendengar terutamanya dalam kalangan penduduk Kampung Delek, Klang, Selangor.
Pendengar bukan sahaja disajikan dengan seleksi lagu-lagu menarik dan lawak jenaka tetapi terdapat banyak selingan perkongsian maklumat penting serta terkini mengenai kampung itu.
Pendek kata, radio yang bersiaran menerusi platform live Facebook itu bagai wahana penyiaran yang membolehkan para penduduk kampung khususnya mengetahui pelbagai perkara yang berlaku di dalam kampung dan sekitarnya.
Radio komuniti diasaskan Wan Zool itu telah beroperasi sejak tahun 2019 dan bersiaran langsung menggunakan platform Facebook Mskdfm WanZool.
Penubuhannya merupakan inisiatif Wan Zool selaku penduduk prihatin yang mahu menjadikan radio online sebagai medium menyebarkan pelbagai informasi dari semasa ke semasa di Kampung Delek meliputi kemasyarakatan, kebajikan, isu sosial serta jenayah.

Inisiatif radio online seperti itu dilihat suatu yang unik dan jarang didapati di perkampungan lain.
Selain memberi hebahan maklumat, ia juga menjadi platform istimewa yang membolehkan masyarakat kampung berhibur secara dalam talian.
Kampung Delek dipecahkan kepada beberapa kawasan iaitu Kampung Delek Kanan, Delek Kiri dan Delek Baru yang mempunyai populasi penduduk lebih 30,000 orang.
Menurut Wan Zool, sebelum ini dia aktif sebagai deejay bagi pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, sukaneka dan pertandingan sejak 17 tahun lalu.
“Oleh kerana sangat meminati tugas sebagai juruhebah atau deejay ini telah menyebabkan tercetusnya idea untuk menubuhkan radio komuniti dan hasrat tersebut mendapat sokongan penuh daripada pemimpin kampung.
“Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa induk Biro Keselamatan dan Kesihatan di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Delek, radio ini juga memudahkan saya untuk menguar-uarkan hebahan hal kemasyarakatan kepada penduduk,” kata anak Klang itu kepada K2.

Dek kerana kecintaan tinggi dalam bidang penyiaran, bapa kepada empat cahaya mata itu sanggup membangunkan konti mini di rumahnya.
Saban hari, peranan radio itu terus diperluas sehingga turut berfungsi sebagai platform membantu mempromosikan produk-produk penduduk Kampung Delek.
Sehubungan itu, Wan Zool selaku deejay utama turut dibantu oleh isterinya, Siti Murniyati Gumari, 50, selaku penerbit, deejay dan seorang wartawan produk bagi melancarkan operasi radio tersebut.
“Kami bersiaran empat kali seminggu selama dua jam pada waktu malam memandangkan perlu menggalas tugas hakiki pada waktu siang.
“Bagi memeriahkan suasana konti, saya juga bersiaran bersama artis-artis jemputan seperti kumpulan Lestari dan Screen, Tia Jinbara, Korie dan Oma Scorr,” jelasnya.
Walaupun tidak bersiaran secara tetap tetapi terdapat segmen-segmen yang ditunggu ramai seperti Produk Anda Kami Viralkan dan Live Bersama Ketua Kampung.
Wan Zool juga mengambil inisiatif membina MSKD.fm Store berdekatan rumahnya bagi memberi peluang kepada para usahawan untuk menjual barangan mereka di situ.
Konti MSKD.fm turut pernah dikunjungi penyampai radio Suria.fm, Cik Piah yang mana suami personaliti itu berasal dari kampung tersebut.
Radio komuniti itu juga aktif merangka pelbagai program dan bantuan antaranya pertandingan karaoke online serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan hasil sumbangan pendengar.
MSKD.fm berjaya mengumpulkan sumbangan daripada rakan-rakan siaran langsung untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat setempat yang memerlukan termasuk memberi bantuan sumbangan kepada pesakit Covid-19 di daerah Klang.

Sementara itu, penduduk kampung itu yang juga pendengar setia MSKD.fm, Mohd. Raof Md. Sani, 53, berkata, radio online ini sentiasa menemaninya setiap kali memandu seorang diri terutama dalam perjalanan jauh atas urusan perniagaan.
“Saya akan menghubungi deejay, bersembang dengannya dan menikmati lagu-lagu yang diputarkan. Cara penyampaian Wan Zool yang santai, versatil dan lawak mudah difahami sekaligus membuatkan pendengar tidak bosan,” ulasnya.
Tambah Mohd. Raof, walaupun bergerak ke beberapa tempat atas urusan kerja tetapi radio tersebut membuatkan dia tidak ketinggalan mengetahui maklumat-maklumat semasa di kampungnya seperti kematian, keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan program bantuan.
Mohd. Raof berkata, radio tersebut juga hadir pada masa yang tepat ketika pandemik Covid-19 apabila penduduk tidak boleh keluar rumah, maka mereka dapat mengetahui maklumat semasa dan berhibur secara dalam talian menerusi platform itu bagi menghilangkan kebosanan dan tekanan.
Oleh kerana MSKD.fm bersiaran menerusi Facebook, radio tanpa frekuensi itu juga boleh didengari di semua tempat dan mempunyai peminat-peminat di luar Kampung Delek termasuk sekitar Selangor, Johor, Sabah, Sarawak bahkan Indonesia.
Menurut ketua kampung itu, Abdullah Abdul Rani, beliau menyokong penuh penyiaran radio komuniti tersebut kerana ia merupakan cara komunikasi zaman sekarang yang menggabungkan penyebaran maklumat dan hiburan.
“Sebagai ketua kampung, banyak perkara yang ingin saya kongsikan seperti program bantuan, peluang pekerjaan dan pelbagai inisiatif lain, maka radio ini sangat penting untuk memastikan maklumat itu sampai kepada masyarakat.
“Selain itu, menerusi platform sebegini juga membolehkan anak-anak yang berada di perantauan berpeluang mengetahui perkembangan semasa di kampung mereka,” katanya.

Terangnya lagi, radio ini memberi dua kesan yang besar kepada masyarakat setempat iaitu dari segi ekonomi apabila radio tersebut banyak membantu membuat mempromosi produk-produk penduduk.
Kedua, sebagai platform penyampaian maklumat pandemik seperti bantuan, suntikan vaksinasi dan ujian calitan Covid-19.
Sehubungan itu, beliau menggunakan radio komuniti tersebut sebagai salah satu medium menyampaikan maklumat kepada penduduk di samping menerusi Facebook rasmi MPKK dan juga kumpulan WhatsApp Kampung Delek.
“Saluran-saluran seperti ini sangat diperlukan ketika pandemik Covid-19 yang mengehadkan hebahan secara fizikal.
“Pertemuan fizikal seperti di masjid, kedai kopi atau tempat tumpuan orang ramai tidak dapat saya lakukan ekoran pandemik ini,” tuturnya.
Seorang pendengar, Nurul Athiran Toslin, 28, memberitahu, dia sentiasa mengikuti siaran langsung radio komuniti MSKD.fm walupun tidak tinggal di Kampung Delek.
Nurul Athirah yang menetap di Dengkil, Selangor mula mengikuti radio tersebut dan menjadi salah seorang ahli kumpulan WhatsApp MSKD.fm sejak dua tahun lalu apabila diperkenalkan oleh ibu saudaranya yang tinggal di Kampung Delek.
“Pada awalnya mak cik memberi pautan radio tersebut kepada saya dan apabila dibuka ternyata gelagat Deejay Wan Zool sungguh mencuit hati, manakala lagu-lagu yang dimainkan sesuai dengan pelbagai lapisan umur.
“Saya juga seronok melihat keserasian Deejay Wan Zool dan isteri ketika bersiaran, malah mereka juga tanpa jemu melayan komen-komen pendengar,” cerita suri rumah itu.
Ceritanya, sebelum radio tersebut bersiaran, ibu kepada dua orang cahaya mata itu akan mendapat makluman di kumpulan WhatsApp MSKD.fm yang memaklumkan waktu radio online itu bakal bersiaran.
Lebih membuatkan dia teruja apabila dapat menambah ramai kenalan menerusi MSKD.fm dan suasana di radio online itu sangat meriah dengan hantaran-hantaran komen para pendengar.















