KE MANA tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.
Itulah perumpaan tepat untuk empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 13 tahun yang mampu mengalunkan muzik rakyat dengan baik menggunakan peralatan seperti gendang dan gong.
Mereka tekad meneruskan legasi datuk mereka yang menubuhkan kumpulan gendang silat pada tahun 1980-an bagi memastikan seni warisan tradisional Melayu ini tidak ditelan zaman begitu sahaja.
Kesemua mereka merupakan ahli Kumpulan Gendang Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai, Pendang yang diketuai Mohd. Al-Faisal Salleh, 38, bertindak sebagai pemain serunai.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SIAPA sangka pada usia muda, empat kanak-kanak cilik berusia antara sembilan hingga 13 tahun dari Pendang, Kedah ini sudah mampu mengalunkan muzik rakyat dengan baik menggunakan peralatan seperti gendang dan gong.
Mereka ialah Muhammad Al-Awwal Aiman Mohd. Al-Faisal, 13; Muhd. Al-Muhaimin Ahmad Zamindari, 11; Siti Nur Umairah Mohd. Al-Faisal, 9, dan Nur Safiya Shafie, 9. Muhammad Al-Awwal Aiman bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Model Khas Bukit Jenun, Siti Nur Umairah menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun, manakala Nur Safiya dan Muhd. Al-Muhaimin bersekolah di SK Pokok Tai.
Kesemua mereka merupakan ahli Kumpulan Gendang Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai, Pendang yang diketuai Mohd. Al-Faisal Salleh, 38, bertindak sebagai pemain serunai.
Mohd. Al-Faisal merupakan bapa kepada Muhammad Al-Awwal Aiman dan Siti Nur Umairah serta bapa saudara kepada Muhd. Al-Muhaimin dan Nur Safiya.
Kanak-kanak tersebut meneruskan legasi datuk mereka, Salleh Husin, 82. yang merupakan tokoh yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan gendang silat pada tahun 1980-an.
Sebagai generasi ketiga dalam keluarga yang mempertahankan seni tersebut, Muhammad Al-Awwal Aiman bertindak sebagai pemain gendang ibu dalam kumpulan itu, manakala Siti Nur Umairah bermain gendang anak sementara Muhd. Al-Muhaimin bermain tamborin dan Nur Safiya bermain gong.
Muhammad Al-Awwal Aiman juga kini berjinak-jinak dalam permainan serunai seperti bapanya.
Kepada Panorama, Siti Nur Umairah memberitahu, pada mulanya dia meminati ilmu persilatan sahaja tetapi lama-kelamaan jatuh cinta dengan alunan muzik pahlawan Melayu yang dimainkan semasa persembahan silat itu.

“Jadi saya pun belajar bermain gong hasil tunjur ajar bapa dan datuk yang banyak pengalaman dalam peralatan muzik Melayu.
“Kebiasaannya kami akan berlatih pada waktu malam secara beramai-ramai.
“Memang pada awalnya agak sukar tetapi selepas mendapat tunjuk ajar serta minat mendalam terhadap muzik ini akhirnya saya mampu bermain alat-alat tradisional ini dengan baik,” katanya yang bermain alat muzik tradisional sejak berusia enam tahun.
Siti Nur Umairah berharap warisan itu tidak lenyap terutamanya dalam kalangan keluarganya yang sememangnya terkenal sebagai pemain instrumen tradisional dan muzik silat di Pendang.
“Sebut sahaja nama datuk saya iaitu Salleh Husin atau lebih dikenali dengan nama Pak Lang Lah pasti orang akan kenalnya sebagai pejuang muzik persilatan dan alatan tradisional,” katanya.
Menurut Siti Nur Umairah lagi, sejak melibatkan diri dalam kumpulan itu, ia langsung tidak mengganggu pembelajaran persekolahannya.
Malah, katanya, ia menjadi terapi dalam menjalani kehidupan sehariannya.
“Apa yang penting, saya perlu mendisplinkan diri bagi menyusun jadual harian supaya ia tidak menjejaskan pelajaran demi masa hadapan saya,” tambahnya.
Abang Siti Nur Umairah, Muhammad Al-Awwal Aiman pula berkata, dia meminati alat muzik tradisional sejak kecil lagi apabila sering mengikuti bapanya berlatih dan mengadakan persembahan.
Katanya, dia mula bermain gong seawal usia tiga tahun walaupun pada masa itu masih memakai lampin pakai buang.

“Pada usia enam tahun, saya sudah mampu bermain gendang ibu seterusnya pada usia lapan tahun saya mewakili sekolah sehingga menyertai program Mimpi Ke Bintang anjuran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) walaupun hanya mampu ke peringkat suku akhir.
“Kini saya mula berjinak-jinak bermain serunai dan berharap suatu hari nanti mampu menguasai semua alat muzik Melayu ini,” katanya.
Menurut Muhammad Al-Awwal Aiman, dia bercita-cita menjadi seorang guru muzik untuk terus mempertahankan seni muzik Melayu.
Sementara itu, Mohd. Al-Faisal berkata, kesemua kanak-kanak itu sangat berminat dalam dunia muzik Melayu dan menyertai kumpulan itu atas kehendak sendiri.
“Mereka mungkin tertarik dengan kemerduan alunan muzik pahlawan Melayu yang dimainkan dalam persembahan silat. Keempat-empat mereka juga menyertai latihan silat sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai contoh, anak sulungnya, Muhammad Al-Awwal Aiman sudah mula meminati permainan gendang seawal usia tiga tahun hanya menerusi pemerhatian.
“Dia menunjukkan minat apabila saya bermain alat-alat itu di rumah. Dia hanya belajar secara dengar dan tiru seterusnya menerusi tunjuk ajar.
“Penyertaan anak saya itu dalam majlis-majlis pada usia muda sentiasa mendapat perhatian orang ramai yang menyaksikan kebolehannya,” kata Mohd. Al-Faisal yang menubuhkan pasukan bersama kanak-kanak itu pada tahun 2016.
Mohd. Al-Faisal, sangat bersyukur kerana anak dan anak saudaranya masih lagi berminat dengan muzik rakyat yang dilihat semakin terpinggir.
“Walaupun usia mereka masih muda, namun jati diri mereka dalam muzik asli Melayu masih menebal.
“Ia berbeza dengan ramai generasi muda sekarang yang sudah beralih ke dunia muzik moden. Mereka sudah lupa dengan peralatan muzik nenek moyang yang ditinggalkan kepada kita selama ini,” ujarnya.
Katanya lagi, selain memainkan muzik daripada lagu-lagu lama, kumpulannya juga mengikuti peredaran muzik semasa dengan mengalunkan irama lagu-lagu segar dan baharu bagi menarik perhatian generasi muda pada hari ini.

“Saya tidak mahu kumpulan ini ketinggalan dengan muzik semasa dan kami sentiasa memainkan banyak jenis lagu walaupun dengan hanya menggunakan serunai, gong, gendang ibu, gendang anak dan tamborin.
“Kumpulan ini bukan sahaja mampu membawa lagu tradisional, malah turut mendendangkan lagu-lagu Hindi dan Inggeris selain rentak caca, dangdut dan joget,” ujarnya.
Tambahnya, melalui latihan secukupnya, persembahan mereka menjadi lancar sehingga ramai yang memuji termasuk golongan muda yang terpesona dengan alunan muzik dipersembahkan.
Menurut Mohd. Al-Faisal, mereka bukan sahaja menerima undangan persembahan untuk pelbagai majlis di Kedah, malah di Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.
“Ini secara tidak langsung mampu menjadi sumber pendapatan kumpulan ini. Kos yang dikenakan pula antara RM350 hingga RM3,000 bergantung kepada jarak sesuatu jemputan.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kami diundang sekurang-kurangnya satu majlis pada setiap minggu,” ujarnya.
Tambahnya, kumpulannya mampu bermain lebih 100 lagu dan lagu-lagu dipilih mengikut majlis keramaian diadakan serta bergantung kepada permintaan pihak penganjur.














