fbpx

Pencemaran udara punca masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Udara yang tercemar memberi kesan terhadap tahap kesihatan mental seseorang. - Sergiy Serdyuk/Fotolia

LONDON – Satu kajian baharu mendapati bahawa pencemaran udara boleh menyebabkan masalah mental yang kronik, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal British Journal of Psychiatry dan dibiayai Institut Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan, Pusat Penyelidikan Bioperubatan Maudsley itu menganalisis data dalam kalangan lebih 13,000 individu.

Hasilnya mendapati, mereka yang menghidap masalah psikotik dan ketidakstabilan emosi seperti skizofrenia dan kemurungan adalah lebih kerap menggunakan perkhidmatan kesihatan mental sekiranya lebih terdedah dengan masalah pencemaran udara melibatkan kesesakan trafik.

Sebelum ini, terdapat kajian dibuat yang mengaitkan pencemaran udara dengan permulaan gangguan mental yang sering dialami seperti keresahan serta penyakit-penyakit lain termasuk nyanyuk dan Parkinson.

Bagaimanapun, kajian terbaharu ini adalah bagi menilai tahap keparahan kesihatan mental selepas gangguan awal bermula.

Bagi tempoh tujuh tahun iaitu antara 2008 hingga 2012, pasukan penyelidik dari Kolej King’s London, Universiti Bristol dan Kolej Imperial London menganalisis data dalam kalangan 13,887 individu berusia 15 tahun dan ke atas yang menggunakan perkhidmatan pakar dalam kesihatan mental.

Penyelidik merujuk rekod kesihatan mental elektronik tanpa nama serta menilai penggunaan perkhidmatan kesihatan mental dan tahap pencemaran udara di alamat kediaman pesakit.

Hasilnya mendedahkan, mereka yang tinggal di kawasan kediaman dengan kadar pencemaran udara yang tinggi adalah lebih cenderung untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan mental dengan kerap.

Selepas tujuh tahun kajian, hasil keseluruhan mendapati bahawa pengurangan pencemaran udara dapat memberi kesan positif yang signifikan kepada mereka yang didapati mengalami gangguan psikotik dan ketidakstabilan emosi.

Ini seterusnya mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang dikaitkan dengan penyakit tersebut.

“Kajian kami menunjukkan bahawa pencemaran udara adalah faktor utama yang menyebabkan peningkatan masalah mental.

“Ia juga merupakan menunjukkan bahawa lebih banyak inisiatif kesihatan awam diperlukan untuk mengurangkan pendedahan terhadap udara tercemar, seperti mewujudkan zon pelepasan yang rendah bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan mental,” kata Pensyarah Kanan Biostatistik dan Epidemiologi di Institut Psikiatri, Psikologi dan Neurosains, Kolej Kings’ London, Dr. Ioannis Bakolis. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI