fbpx

Permohonan Syed Saddiq pindah kes didengar 25 November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memohon supaya kesemua kes yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi akan didengar pada 25 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Muhamed Tahir ketika dihubungi di sini hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

Menurut Muhammad Asraf dalam pengurusan kes hari ini, pihak pendakwaan turut membantah permohonan yang dikemukakan Syed Saddiq.

“Mahkamah kemudian telah menetapkan tarikh-tarikh bagi pihak-pihak memfailkan afidavait jawapan dan hujahan. Pendengaran permohonan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan,” katanya.

Isnin lalu, Kosmo! Online melaporkan Syed Saddiq memohon supaya kes pecah amanah berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos lalu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq selaku pemohon turut memohon agar semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Pada 22 Julai lalu Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu pecah amanah dan menyalahgunakan harta di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI