fbpx
Seorang pembaca meter TNB cedera selepas digigit anjing dalam kejadian di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor, kelmarin.

Pembaca meter TNB cedera diterkam anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan cedera selepas tangan kanannya digigit anjing ketika menjalankan tugas di Jalan Api-api 1, Taman Megah Ria, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Faridzuan Nordin, 27, dipercayai telah diterkam oleh anjing yang meluru keluar apabila pintu pagar kecil rumah itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut.

Menurut perkongsian yang tular di media sosial semalam, mangsa serta anak pemilik anjing telah bergelut dengan haiwan tersebut untuk beberapa minit sebelum anjing melepaskan gigitan dan mangsa kemudiannya meminta bantuan di aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar telah digigit anjing pada pukul 12.05 tengah hari.

Susulan itu, beberapa orang rakan sekerja telah segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa dan membawanya ke klinik Penawar Taman Megah Ria untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini untuk membuat pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Insiden digigit anjing itu menyebabkan mangsa mengalami luka akibat gigitan di lengan kanan yang agak serius, ibu jari tangan kiri dan calar-calar di bahagian kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.

“Bagaimanapun, mangsa secara suka rela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak dan kes telah diselesaikan dengan baik,” katanya.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR