fbpx

Jamal Abdillah pandu BMW tak berbumbung, nampak muda!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI Jamal memandu kereta mewah jenama BMW tanpa bumbung yang tular dalam laman sosial.

PETALING JAYA – Tersebar beberapa keping foto dirinya segak memandu kereta mewah jenama BMW tanpa bumbung (convertible), Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menafikan kenderaan tersebut miliknya.

Sebaliknya, kata Jamal atau nama lengkapnya, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, kenderaan mewah tersebut digunakannya atau dipandunya ketika menjalani penggambaran promosi sebuah projek resort tidak lama dahulu.

“Bukan saya punya! (tertawa). Kereta itu saya pandu ketika penggambaran promosi sebuah resort di Cameron Highlands, Pahang.

“Saya memang peminat kereta tapi bukan kereta convertible. Harga kereta yang jenis begitu bukan calang-calang. Tak mampu saya dibuatnya, lebih baik saya kumpul atau simpan duit beli apa yang lebih bermanfaat,” kata pelantun lagu Gadis Melayu itu ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu, kereta mewah yang dipandunya itu adalah model BMW 6-Series Convertible. Dipuji kelihatan muda dalam gambar yang kian tular dalam Facebook itu, Jamal hanya tertawa.

“Alhamdulillah, kalau ada orang kata saya nampak muda (ketawa). Semua yang kita ada sekarang ini adalah milik Allah. Sama-samalah kita jaga anugerah yang Allah SWT pinjamkan buat sementara waktu,” ujarnya.

Ditanya apa tips dirinya kekal aktif dan awet muda pada usia 62 tahun, jawab Jamal: “Jaga berat badan dengan jaga pemakanan. Itu paling penting. Selain itu, dalam pada usia semakin meningkat, saya nak nasihatkan agar selalu bersenam walaupun pada waktu pandemik sekarang.

“Tak kisahlah berjogging atau berjalan laju, asalkan dapat keluar peluh. Nak pergi gimnasium pun masih tak dibenarkan beroperasi lagi sebab negara masih terikat dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya di rumah ada treadmill. Waktu pandemik kalau saya bosan tak boleh jogging di luar, saya berlari atas treadmill sahaja. Tapi sekarang dah boleh bersenam di luar tapi tolong patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.”

Baru-baru ini, Jamal berkongsi berita gembira apabila dia bakal menimang cahaya mata kelima awal tahun hadapan. Menurutnya, isteri iaitu Datin Zai Izzati kini sedang hamil 12 minggu dan dijangka akan bersalin pada awal Februari tahun hadapan.

“Insya-Allah, jika diizinkan, saya inginkan anak perempuan. Apa-apa pun saya serahkan kepada Allah SWT. Ini bermakna, bertambah lagi tanggungjawab saya untuk keluarga.

“Saya dan isteri bercadang untuk pilih tarikh 2 Februari 2022 untuk kelahiran anak kelima ini nanti,” katanya yang bakal muncul dengan satu lagi single baharu bersama Wany Hasrita tidak lama lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI