fbpx

‘Saya akan tatap gambar arwah bapa sebelum tidur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Muhammad Al-Iqram (kanan) bersama arwah bapanya yang sering ditatapnya sebelum tidur.

SUNGAI PETANI – “Saya rasa sedih dan sunyi selepas bapa pergi buat selamanya kerana arwah merupakan seorang yang sa­ngat penting dan istimewa dalam hidup saya.”

Demikian luah Muhammad Al-Iqram, 12, yang kehilangan bapa­nya, Mohamed Sanizi Hassan, 38, akibat jangkitan Covid-19 pada 4 Ogos lalu.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia sedih kerana bapa meninggalkannya ketika dia serta adik-adik masih memerlukan kasih sayang serta perlindungan seorang bapa.

“Saya masih tidak dapat melupakan kematian bapa kerana kejadian seperti itu tidak pernah terlintas di fikiran selama ini.

“Sebagai anak sulung, saya masih memerlukan kekuatan, perlindungan dan tunjuk ajar bapa yang merupakan tempat rujukan terbaik untuk meneruskan hidup,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dua adik Muhammad Al-Iqram ialah Muhammad Izzul Aisy, 7, dan Muhammad Izz Adzahan, 5.

Katanya, dia dan dua adik kehilangan tempat bermanja untuk selama-lamanya dan tidak mungkin ada sesiapa yang dapat menggantikan arwah.

“Saya akan menatap gambar bapa dan mendoakan arwah setiap kali mahu tidur,” ujarnya.

Muhammad Al-Iqram kini tinggal bersama ibunya, Noraisyah Othman, 34.

Kosmo! pada 9 Ogos lalu melaporkan hasrat seorang isteri untuk menyambut ulang tahun perkahwinan ke-13 tidak kesam­paian apabila suaminya pergi buat selamanya akibat Covid-19.

Di Klang, seorang ibu kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya di sini bercadang untuk pulang ke kampung halaman mereka di Pengkalan Chepa, Kelantan sekiranya terus bergelut dengan masalah kewa­ngan.

Maznah Samat, 50, berkata, keputusan itu sedang difikirkan selepas suaminya, You Huddin Rahmat, 64, meninggal dunia akibat Covid-19 pada awal Julai lalu.

“Kos yang tinggi ditambah keperluan harian menyebabkan saya dalam pertimbangan untuk meneruskan hidup di kampung halaman semula.

“Ketika ini, saya dan anak sulung yang sama-sama bekerja di sebuah kilang yang menanggung pendapatan keluarga dengan gaji keseluruhan RM3,000,” katanya.

Cerita Maznah, dia mempu­nyai empat lagi anak yang masih bersekolah dan memerlukan per­belanjaan tinggi termasuk pembayaran rumah sebanyak RM380 sebulan.

Kesemua anak Maznah berusia antara 10 hingga 23 tahun.

“Kami ada menerima sumbangan derma dan bantuan makanan daripada pihak sekolah anak bongsu saya yang belajar di SK Taman Klang Jaya,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI