fbpx

New Delhi perkenal ‘menara jerebu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pekerja memanjat tangga menara jerebu yang dibina untuk membersihkan udara tercemar di New Delhi hari ini. - AFP

NEW DELHI – Ibu negara India,  New Delhi melancarkan ‘menara jerebu’ pertama hari ini,  bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara yang menjadi punca kepada beribu-ribu kematian pramatang pada setiap tahun, namun pakar-pakar sangsi tentang keberkesanannya.

Kepekatan zarah maut di ruang udara New Delhi sering melebihi kadar selamat pada tahap  20 kali ganda, terutamanya semasa musim sejuk apabila 20 juta penduduk kota raya itu dilitupi jerebu berbahaya.

Sebanyak 40 kipas gergasi di menara setinggi  25 meter itu akan mengepam 1,000 meter padu udara sesaat melalui penapis yang mengurangkan separuh zarah berbahaya dalam radius satu kilometer persegi, demikian menurut beberapa jurutera.

“Hari ini adalah hari besar bagi Delhi dalam memperjuangkan udara bersih dan membasmi  pencemaran.

Binaan ini masih di peringkat  eksperimental. Kami akan menganalisis data dan jika ia didapati berkesan, maka lebih banyak menara ini akan dibina di Delhi,” kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal selepas majlis perasmian berhampiran kawasan beli-belah sibuk,  Connaught Place.

Menara itu menelan belanja AS$2 juta (RM8.4 juta), manakala pengkritik-pengkritik berkata, pembinaan menara tersebut di seluruh New Delhi akan melibatkan penggunaan wang rakyat  yang  banyak sedangkan usaha sepatutnya disalurkan ke arah mengurangkan sumber pencemaran.

Ini termasuk ekzos kenderaan, industri berat dan kecil, kegiatan pembinaan, pembakaran sampah dan bahan bakar pada musim sejuk serta  pembakaran tanaman di wilayah jirannya.

“Menara ini adalah sia-sia dan  merupakan pembaziran sebenar,” kata Karthik Ganesan yang merupakan pegawai Majlis Tenaga, Alam Sekitar dan Air.

India mempunyai 14 daripada 15 bandar paling tercemar di dunia, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal  Lancet mendapati terdapat 1.67 juta kematian pramatang di India yang  disebabkan oleh pencemaran udara pada tahun 2019 termasuk hampir 17,500 kematian di New Delhi. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI