fbpx

Kajian sangsi pelitup muka biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELITUP muka jenis N95 dipamerkan di atas sebuah meja di San Anselmo, California pada 28 Julai 2020. – AFP

OTTAWA, Kanada – Sebahagian besar pelitup muka pembedahan berwarna biru yang digunakan oleh orang ramai semasa pandemik didakwa tidak cukup berkesan untuk mengelakkan individu daripada jangkitan Co­vid-19, demikian menurut satu kajian baharu seperti dilaporkan laman berita MailOnline kelmarin.

Kajian oleh Universiti Waterloo di Kanada itu mendapati bahawa pelitup muka jenis N95 atau KN95 melakukan tugas le­bih baik untuk menghalang titisan air liur atau aerosol daripada mulut pemakainya.

Pelitup muka pembedahan biru diperbuat daripada kain menjadi popular semasa pandemik, namun kajian itu mendakwa bahawa ia 10 peratus berkesan kerana tidak menutupi wajah dengan betul.

“Tidak diragui pemakaian pelitup muka, baik untuk perlindungan jarak dekat atau jauh di ruang tertutup adalah bermanfaat.

“Namun, terdapat perbezaan ketara mengenai keberkesa­nan pelitup muka yang berbeza dalam menahan titisan aerosol,” kata ketua kajian itu, Serhiy Yarusevych yang merupakan seorang profesor bidang kejuruteraan mekanik dan mekatronik, dalam satu kenyataan.

Yarusevych dan pasukan penyelidiknya berkata, ramai orang memakai pelitup muka yang tidak menutup wajah mereka dengan betul, tidak seperti pelitup muka N95.

Katanya, pelitup muka biasa tidak menutup permukaan wajah pemakainya dengan ketat dan kemas dan menyebabkan titisan aerosol terlepas dari celah bukaan di antara wajah seseorang dan kain yang digunakan sekali gus berisiko menyebarkan Covid-19 di kawasan sesak.

N95 pula berupaya menapis lebih 50 peratus titisan aerosol, manakala baki separuh lagi tersebar di atas kepala pemakai

 

PENGUNJUNG memakai pelitup muka ketika bersiar-siar di Marina Bay, Singapura pada 27 Ogos 2020. – AFP

“Ini masuk akal. Ada alasan tersendiri contohnya, mengapa pengamal perubatan memakai pelitup muka N95. Ini kerana, N95 berfungsi dengan lebih baik. Kami telah memberikan bukti dan analisis untuk menyokong andaian tersebut,” kata Yarusevych.

Pasukan Yarusevych menambah, ujian pengudaraan menunjukkan kadar N95 memberikan tahap perlindungan setanding pelitup muka berkualiti paling tinggi.

Pada awal bulan ini, bekas penasihat Covid-19 dan ahli epidemiologi Presiden Joe Biden memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) bahawa ‘banyak pelitup muka kain yang dipakai orang ramai didapati tidak begitu berkesan’.

Michael Osterholm yang berkata demikian dalam satu wawancara bersama saluran berita CNN turut menyarankan orang awam mula memakai pelitup muka N95 yang lebih berkesan terhadap Covid-19.

“Kita berada dalam situasi yang sangat malang, kita benar-benar membawa negara ini (AS) ke dalam situasi keliru yang mana kita seharusnya memberi tumpuan kepada vaksinasi.

“Saya harap kita dapat membuang terma topeng kerana ia memberi bayangan bahawa apa sahaja yang anda pakai pada muka anda berkesan sedangkan banyak pelitup muka yang dipakai orang ramai tidak begitu berkesan dalam mengurangkan pergerakan virus Covid-19 sama ada masuk atau keluar,” kata

Osterholm yang merupakan pengarah Pusat Penyelidikan dan Dasar Penyakit Berjangkit di Universiti Minnesota.

Sebelum ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dikritik kerana pendiriannya mengenai pelitup muka mengelirukan orang ramai selepas agensi berkenaan mengubah polisi pemakaian pelindung tersebut.

Pegawai-pegawai persekutuan berkata, data belum diterbitkan menunjukkan bahawa individu telah divaksin yang dijangkiti Covid-19 juga boleh menyebarkan virus itu, menyebabkan mereka mengesyorkan agar semua orang memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tertutup yang mempunyai kadar penularan tinggi.

Bagaimanapun, Texas dan Florida memperjuangkan polisi melarang pemakaian pelitup muka terutamanya melibatkan untuk pelajar di dalam kelas.

Namun, pada Jumaat lalu, Mahkamah Agung Texas menolak polisi Gabenor Texas, Greg Abbott untuk membatalkan pe­raturan pemakaian pelitup muka tersebut.

Abbott yang dijangkiti ­Covid-19 pada Selasa lalu, me­mimpin inisiatif untuk menolak pemakaian pelitup muka bersama beberapa pemimpin Parti Republikan lain termasuk Gabenor negeri Florida, Ron DeSantis.
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN