fbpx

Covid-19 sifar atau hidup bersama pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Lebih setahun berlalu, pandemik Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Senarionya juga tidak banyak berubah dengan kes terus meningkat menjadi ratusan juta, begitu juga angka korban, malah sepanjang tempoh tersebut, koronavirus bermutasi kepada lapan varian dominan termasuk Alpha, Delta, Kappa, Iota dan Lambda.

Ramalan pakar-pakar termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini bahawa kes akan menurun seiring dengan peningkatan angka vaksinasi tidak menjadi kenyataan.

Senario ini berpunca daripada realiti bahawa virus Covid-19 menular jauh lebih pantas daripada usaha pelalian.

Kemunculan varian Delta terutamanya, menjadikan dunia seperti dilanda pandemik baharu. Koronavirus yang menular sekarang bukan seperti yang kita ketahui awal tahun lalu.

Pendekatan yang diambil sekarang bagi membendung pandemik juga sama sekali berbeza.

Negara-negara yang mencatatkan angka jangkitan kecil dan dan peratusan vaksinasi sedikit seperti New Zealand, China serta beberapa rantau lain memilih pendekatan perintah berkurung yang ketat dengan menutup semua sektor bagi membendung virus itu daripada terus menular.

Pendekatan ini mengundang kritikan kerana ada yang mengatakan bahawa negara-negara tidak boleh selamanya menutup sektor ekonomi setiap kali kluster koronavirus dikesan.

Setakat ini, China yang mencatat kejayaan menerusi langkah tersebut kerana sekatan yang dilaksanakan sangat ketat serta menyeluruh, turut dikritik berikutan impak langkah demikian terhadap ekonomi negara.

New Zealand turut mengambil langkah serupa ketika kes varian Delta yang dikesan di negara itu masih dua angka.

Pendekatan seumpamanya oleh Australia bagaimanapun tidak membuahkan hasil memuaskan, malah rakyat bosan kerana terlalu lama dikurung.

Pendekatan kedua adalah memberi pelalian kepada seberapa ramai individu pada kadar seberapa segera yang boleh bagi mencapai imuniti kelompok.

Negara-negara yang mengambil pendekatan ini belajar untuk hidup bersama pandemik, malah tidak lagi memberi tumpuan kepada bilangan kes harian.

Apa yang lebih diutamakan adalah jumlah kemasukan ke hospital, kes serius dan angka kematian mencatat penurunan.

Banyak negara mengambil pendekatan kedua sementara menunggu kewujudan vaksin lebih baik dan ubat ‘ajaib’ yang dapat merawat Covid-19 memasuki pasaran.

Walau apa pun pendekatannya, penulis merasakan bahawa situasi tidak akan pulih dengan cepat, manakala kemungkinan koronavirus terus mencatat kes baharu sehingga 2025 sememangnya bukan omong kosong.-K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI