fbpx
Nisa Ailani Mohd. Suhaimi, 5, (dua dari, kiri) terkenang arwah ibu bapanya yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 ketika ditemui di Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang pada 9 Ogos lalu. -ZULFADHLI ZAKI

Covid-19 ragut bahagia 1,517 pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Angkara Co­vid-19, seramai 1,517 daripada lebih lima juta pelajar di seluruh negara telah kehilangan insan tersayang mereka iaitu ibu atau bapa atau kedua-duanya sejak Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, walaupun jumlah itu kecil, namun pihaknya akan tetap memberi keutamaan kepada pelajar yang terlibat untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

Menurutnya, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sentiasa bertindak segera jika mendapat maklumat mengenai pelajar-pelajar yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Sokongan kebajikan yang diberikan kepada pelajar bukan sahaja dalam bentuk material (seperti bantuan kewangan, barangan dapur, bantuan zakat dan sebagainya), malah merangkumi sokongan emosi.

“Kutipan derma kilat antara tindakan awal yang sering diusahakan oleh pihak sekolah melalui kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat,” kata ke­nyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, KPM telah menubuhkan satu pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan segera dapat diambil kepada mereka yang terkesan.

“Pihak kementerian juga me­ningkatkan kerjasama dengan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar satu penyelesaian yang menyeluruh dapat dilaksanakan bagi membantu pelajar yang terkesan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan emosi atau psikologi pelajar tidak terganggu, sesi bimbingan dan kaunseling akan terus dilaksanakan oleh guru bimbingan kaunseling sama ada secara bersemuka atau dalam talian sehingga emosi pelajar itu kembali stabil.

Katanya, pelbagai bantuan akan disalurkan dengan segera antaranya Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi mereka yang la­yak serta penempatan murid ke asrama bawah KPM.

“KPM turut menjalin kerjasama dengan penghulu, ketua kampung atau perumahan dan agensi lain seperti JKM dan pihak pe­ngurusan zakat bagi memastikan kebajikan murid terus terbela,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN