fbpx

8,000 komputer riba untuk kegunaan pelajar B40, M40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan Bujang

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor (PRE 3.0) akan menyediakan 8,000 komputer riba beserta internet untuk kegunaan pelajar dari golongan B40 dan M40 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM25 juta.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM126.86 juta disediakan kerajaan negeri menerusi PRE 3.0.

“Kerajaan negeri akan mengagihkan 8,000 komputer riba kepada sekolah seluruh Johor yang akan dijadikan aset sekolah untuk dipinjamkan kepada pelajar kurang berkemampuan.

“Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 pocket wifi dengan talian internet khusus untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) berhubung perkembangan terkini bantuan peranti diumumkan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menerusi PRE 3.0 melibatkan 8,000 peranti.

Mazlan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Tambah beliau, Bahagian Sains Teknologi dan ICT (BSTICT) negeri telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.

“Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menetapkan spesifikasi yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar-pelajar berkenaan selain kerajaan turut melaksanakan kajian pasaran bagi mendapat nilai terbaik sebelum membuat perolehan.

“Bekalan peranti akan mula di edar kepada sekolah pada awal bulan September ini sebelum dijangka selesai sepenuhnya pada November tahun ini,” ujarnya.

Mazlan turut memberitahu, JPNJ juga maklum berkaitan sumbangan (komputer riba, tablet dan data internet) pelbagai pihak antaranya Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ahli Parlimen, ADUN, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan individu bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar berhubung pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI