fbpx

Guru tolak vaksin, TMJ akan jumpa Pengarah Pendidikan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ciapan Tunku Ismail menerusi Twitter rasmi milik baginda hari ini.

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pendidikan Johor bagi mengambil maklum berhubung 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19.

Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda hari ini bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.

“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Insya-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah baginda dalam ciapan berkenaan.

Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu dalam perkara itu agar golongan guru terlibat yakin menerima vaksin kelak.

“Kerajaan negeri akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya, apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani) berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Kota Iskandar dekat sini hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI