fbpx

Seribu Tahun, emosi putus cinta Meer Nash

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEER NASH

Lagu berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah berusia lebih sedekad. Namun, sehingga kini lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah lakonan Allahyarham Benji itu masih boleh meniti di bibir ramai dan dianggap malar segar.

Dengan melodi yang menyentuh jiwa, tidak mustahil lagu berkenaan mudah mencatat sohor kini dalam aplikasi TikTok baru baru ini.

Meneruskan momentum yang tercipta, TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan untuk dinyanyikan semula penyanyi muda berbakat besar, Meer Nash.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul.

“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang trending semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima. Dalam ramai artis, saya yang terpilih.

“Secara peribadi saya meminati lagu berkenaan . Saya percaya ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” katanya.

Kata penyanyi yang mendapat jolokan Oppa Malay itu, perancangan nyanyian semula Seribu Tahun bermula sekitar 29 Mac lalu.

“Akhirnya lagu itu dirakamkan pada 18 Mei lalu di RMP Production di Damansara Perdana.

“Saya berjaya lunaskan proses rakaman sekitar empat jam. Tak saya nafikan lagu itu sangat meruntun jiwa. Perkara yang paling mencabar untuk dilakukan ketika merakamkan lagu ini adalah pada bahagian harmoni.

“Nak dijadikan cerita, emosi itu jadi terbawa-bawa lagi sebab saya baru saja putus cinta. Jadi barangkali situasi itu memudahkan saya menyelami bait lirik lagu berkenaan,” katanya yang bagaimanapun enggan larut dengan perasaan kecewa.

PEMILIHAN Meer Nash untuk memberi nafas baharu terhadap lagu Seribu Tahun sejajar dengan misi TikTok yang sentiasa membuka ruang kepada penyanyi itu menyerlahkan potensi karier muzik pada masa hadapan.

Sempat ditanya mengenai pelantun asal lagu berkenaan, Meer mengakui pernah berjumpa Imran beberapa tahun lalu.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat. Tapi pernah berjumpanya dalam acara hiburan ketika lagu itu rancak dipromosikan.

“Bayangkan kali pertama jumpa, saya ini bukanlah sesiapapun ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu saya terus meminatinya,” katanya.

Sebagai komposer, Meer juga sehabis baik mendalami maksud dalam lagu berkenaan, sekali gus memudahkan proses rakaman.

“Malah saya pernah merumuskan lagu ini dalam bentuk sinopsis.

“Daripada perspektif saya, lagu ini menceritakan tentang kekesalan dan rasa kehilangan terhadap insan tersayang sama ada ahli keluarga atau pun kekasih.

“Disebabkan kekesalan itu juga, watak dalam lagu berkenaan sanggup melakukan apa saja untuk kembali menambat hati insan yang telah ditinggalkan.

“Tidak kira berapa lama jangka masa atau betapa jauhnya perjalanan itu, dia sanggup bertahan. Tiada istilah putus harapan dalam dirinya hingga sanggup mempertaruhkan segala-galanya,” kata Meer.

MEER NASH mulanya terkesima apabila dipilih sebagai penyanyi yang membawakan semula lagu Seribu Tahun.

Dalam perkembangan lain, Meer masih rancak mempromosikan single Saranghae ciptaannya sendiri.

“Lagu itu dilancarkan sekitar lebih sebulan lalu. Buat masa sekarang, saya masih terus mempromosikannya.

“Dalam masa sama, saya juga cuba mencuri ruang mencipta lagu baharu untuk single seterusnya. Cuma biasalah lama terperuk dalam rumah, ilham itu tenggelam timbul. Otak pun tepu, kreativiti berkurangan.

“Pastinya saya sendiri tak sabar untuk menantikan reaksi peminat terhadap rendisi lagu Seribu Tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran, TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata, pemilihan lagu dibuat berdasarkan impak tular yang dicatat sejak awal tahun ini.

“Lagu itu kembali tular di TikTok hingga menembusi carta lagu hit Malaysia di stesen radio ERA dan Hot FM.Setakat ini lagu itu sudah mencapai lebih daripada 41 juta paparan dan 20,000 video dimuat naik di aplikasi TikTok,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI