fbpx

Taburan hujan luar biasa dikesan di kawasan Gunung Jerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Permukaan jalan rosak akibat kejadian kepala air di kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi, Yan pada petang semalam.

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) mengesahkan berlaku taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh masa singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Kedah petang semalam.

Pengesahan itu berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang  mendapati terdapat hujan lebat luar biasa bermula kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, kejadian hujan ekstrem itu telah menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di daerah Yan.

Beliau berkata, hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.

“Berdasarkan maklumat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 milimter (mm) dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.

“Dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, berdasarkan rekod, pada pukul 6 petang, hujan yang turun telah melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).

Beliau berkata, KASA bersama agensi-agensi di bawahnya termasuk kerajaan negeri Kedah telah mengambil tindakan termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI