fbpx
Tiga kenderaan dipercayai milik PDRM dilihat memasuki kawasan kediaman Ebit di Setia Alam, dekat sini kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Polis ke rumah Ebit Lew cari bahan bukti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mula melakukan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari bahan bukti di rumah pendakwah terkenal, Ebit Lew di Setia Alam, dekat sini petang tadi.

Ia susulan tiga buah kenderaan disyaki milik PDRM dilihat memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang.

Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah terbabit turut memasuki kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun, kenderaan PDRM dilihat keluar dari kawasan perumahan itu kira-kira pukul 5.13 petang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pasukan penyiasat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) akan membuat kerja-kerja penggeledahan di kediaman Ebit dalam usaha mencari bahan bukti termasuk telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.

“Penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti merupakan antara prosedur yang perlu dilakukan pihak polis dalam melengkapkan kertas siasatan.

“Namun begitu, saya tidak dapat pastikan bila pegawai penyiasat kes akan ke rumah beliau (Ebit) sama ada hari ini atau esok, itu kena tanya mereka sendiri,” ujarnya ringkas sebentar tadi.

Terdahulu, Ebit Lew hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai saksi untuk membantu siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengannya seperti mana yang tular menerusi video, baru-baru ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR