GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneruskan kerjasama dengan agensi berwajib bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini tidak terganggu walaupun berlaku perubahan kepemimpinan di peringkat Kerajaan Pusat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga akan memastikan apa yang telah ditetapkan untuk rakyat negeri ini bagi program PICK itu dapat dicapai.
“Memandangkan sudah jadi kenyataan (peletakkan jawatan Perdana Menteri), saya percaya kenyataan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali amat jelas dalam tempoh ini.
“Perkhidmatan awam tidak akan terjejas pada masa ini, dan mereka akan teruskan perkhidmatan melalui pimpinan KSU setiap kementerian dan jawatankuasa sedia ada,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di pusat beli-belah Gurney Paragon di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, dua pusat beli-belah terkemuka iaitu Gurney Paragon di sini dan Design Village di Batu Kawan dipilih sebagai pusat program RiVAC di negeri ini.
“Bermula semalam, di Gurney Paragon sebanyak 6,000 dos vaksin pertama akan diberikan kepada penerima, manakala di Design Village yang akan dibuka esok pula 4,000 dos vaksin bakal diberi.
“Kedua-dua lokasi pusat program RiVAC ini dijangka selesai memberikan vaksin dalam tempoh lima hari dari ia dibuka dan akan beroperasi semula 21 hari kemudian bagi menyalurkan dos vaksin kedua,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929