fbpx
CHE TA selesai memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan isu fitnah terhadap Azwan Ali.

[VIDEO] Isu fitnah Diva AA, 4 jam Che Ta beri keterangan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas hampir empat jam, akhirnya pelakon versatil Rozita Che Wan selesai memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pengacara kontroversi, Azwan Ali terhadapnya.

Rozita atau mesra disapa Che Ta ketika ditemui memberitahu, proses memberi keterangan sebentar tadi berjalan dengan lancar dan kini hanya menunggu untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sudah berikan kerjasama sebaik mungkin dengan pihak polis dan sudah memberikan keterangan seperti yang mereka minta.

“Jadi sekarang ini saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang tidak dapat mengulas lanjut mengenai keterangan yang diberi sebentar tadi atas nasihat peguamnya.

Terdahulu, Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 49, tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur sekitar pukul 12 tengah hari ditemani suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin serta pengurusnya, Afeeq Wahab.

Kedua-dua mereka turut diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Jelas Che Ta lagi, dia sebenarnya tidak mahu kes berkenaan dipanjangkan-panjangkan, tetapi kerana Azwan yang memulakan dahulu, jadi dia hanya mengikut proses yang dijalankan.

“Saya rasa kita ni manusia biasa yang tiada apa pun. Kami pun dalam industri yang sama dan kenapa kita perlu buat musuh.

“Semua orang tahu sekarang ini kita berada di akhir zaman. Kalau tak berbaik pun tak mengapalah, tapi tak perlu buat musuh,” ujarnya yang berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik seandainya Azwan sedia berkerjasama.

CHE TA sebenarnya tak mahu perbalahan dengan Azwan Ali terus berlanjutan dan menjadi satu permusuhan sesama artis yang mencari makan dalam industri hiburan tanah air.

Tambah Che Ta lagi, pihaknya kini hanya menunggu proses selanjutnya mengikut lunas undang-undang seperti apa yang dinasihatkan peguam.

Semalam, tular kenyataan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA bertindak membuat laporan polis terhadap Che Ta yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Menerusi laporan polis yang dibuat, Diva AA menyifatkan kenyataan yang ditujukan kepadanya adalah berunsur fitnah hingga merosakkan imej dan reputasinya sebagai seorang anak seni.

Dalam satu laporan media sebelum ini menyebut, Diva AA atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali, 55, bercadang untuk mengemukakan saman berjumlah RM5 juta kepada Che Ta yang didakwa telah memfitnahnya.

Diva AA bertindak mengemukakan saman fitnah tersebut selepas Che Ta mengaitkan kemewahan yang dimilikinya dengan bekas menteri kanan yang juga abang kandungnya, Datuk Seri Azmin Ali.

Che Ta dalam satu kenyataannya kepada Kosmo! semalam memberitahu dia enggan ambil pusing perkara tersebut dan hanya menunggu surat saman daripada peguam Azwan kepadanya.

Untuk rekod, pertelingkahan antara bekas pengacara program hiburan Lagu Cinta Kita dengan pelakon drama Kak Marr itu tercetus apabila Diva AA menegur cara berpakaiannya yang dianggap keterlaluan ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin dengan menggunakan kata-kata kesat dan kurang sopan yang diciap dalam akaun Twitternya.

Sementara itu, Kosmo! berusaha mendapatkan komen balas daripada Diva AA berhubung tindakan seterusnya kes berkenaan. – K! ONLINE

POPULAR