fbpx

Zahiril Adzim jatuh terseliuh, sebab ditolak hantu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHIRIL ADZIM kini muncul dengan filem terbaharu berjudul Ada Hantu.

MENGALAMI kecederaan terseliuh buku lali dan melihat pelakon lagak ngeri terjatuh sehingga retak tulang pinggul, menjadi antara pengalaman menakutkan buat pelakon Zahiril Adzim di set penggambaran sebuah filem baharu berjudul, Ada Hantu.

Berkongsi pengalamannya, Zahiril atau nama sebenarnya Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar memberitahu, sepanjang penggambaran filem terbaharunya, Ada Hantu di sebuah banglo di Pulau Carey, Selangor pada

Disember tahun lalu, tidak banyak gangguan pelik menghantui kru bertugas,

Namun, ketika penggambaran sebuah babak filem tersebut, Zahiril terasa dirinya seperti ditolak sehingga menyebabkan dia terjatuh lalu terseliuh buku lali.

“Boleh dikatakan kru penggambaran filem Ada Hantu dilindungi, cuma dalam beberapa babak kami dikacau.

ZAHIRIL ADZIM melakonkan watak seorang Youtuber yang tidak percayakan kewujudan hantu.

“Ketika itu saya perlu melakonkan satu babak menendang pintu dan melompat masuk, selepas membuat latihan, saya tahu momentum untuk melompat serta jatuh.

“Ketika latihan semua okey, apabila tiba waktu rakaman semasa melompat terasa ada satu daya yang menolak saya. Saya terjatuh dengan salah dan menyebabkan kaki terseliuh. Saya tidak bercerita pengalaman tersebut di lokasi, sebaliknya hanya memberitahu cerita sebenar ketika sampai di hotel,” kongsi Zahiril.

Pengalaman ngeri pelakon berusia 37 tahun itu tidak tamat di situ. Sebaliknya, seminggu selepas tamat penggambaran filem Ada Hantu, Zahiril kembali ke banglo yang sama untuk menjalani penggambaran projek seterusnya.

FILEM Ada Hantu arahan sulung aktor Hairul Azreen lakonan Zahiril, Shiqin Kamal, Elvina Chua, Nafiez Zaidi kini menemui penonton menerusi platform Disney+ Hotstar bermula 13 Ogos lalu.

Berbeza ketika menjalani penggambaran filem Ada Hantu yang berlangsung dengan aman, projek seterusnya itu berlangsung dalam suasana kacau-bilau apabila mengalami gangguan yang agak ketara.

“Saya tidak mahu beritahu projek apa, tetapi tetap genre seram. Saya dan kru teruk dikacau sehingga ‘dia’ muncul depan muka. Mulanya, ‘dia’ kacau sikit-sikit.

“Bermula dengan kamera rosak, kemudian cermin kereta pengarah pecah, tetapi kami cuba kekal positif. Namun, semakin kami positif semakin teruk kami dikacau sampai hari terakhir apabila pengarah kata memang tidak boleh melakukan penggambaran di situ ‘dia’ terus muncul di belakang kru.

“Waktu itu, ada seorang pelakon tambahan yang disolek untuk menjadi hantu, waktu saya berada di ruang tamu saya nampak pelakon watak hantu itu berada di pintu sedang mengambil gambar.

“Saya bangun untuk menukar pakaian, tetapi terkejut sebab ternampak ‘dia’ dengan pakaian dan wajah sama seperti pelakon hantu itu berada di tangga. Saya terus menyebut Allahuakbar dan memandang ke tempat lain,” ujar Zahiril.

HAIRUL AZREEN Azreen (kanan sekali) turut berlakon di sisi Zahiril dan Shiqin Kamal dalam filem sulung arahannya, Ada Hantu.

Menurut Zahiril kejadian tersebut turut disaksikan seorang kru penggambaran. Kemuncak gangguan di banglo tersebut apabila seorang pelakon lagak ngeri telah ditolak jatuh dari siling rumah.

“Paling teruk kami dikacau, pelakon lagak ngeri ditolak terjatuh dari siling sehingga tulang pinggulnya pecah tiga,” kongsi Zahiril.

Meskipun begitu, suami kepada pelakon dan pengacara Shera Aiyob itu mengakui pengalaman mistik sebenarnya menjadi kebiasaan buat pelakon dan kru penggambaran sesebuah naskhah seram.

“Memang seram, tetapi niat saya hanya untuk bekerja. Gangguan memang akan ada tetapi kita telan sahaja demi kerja,” kata Zahiril yang ditemu bual pada sidang akhbar filem Ada Hantu secara virtual baru-baru ini.

Filem Ada Hantu arahan sulung aktor Hairul Azreen lakonan Zahiril, Shiqin Kamal, Elvina Chua, Nafiez Zaidi kini menemui penonton menerusi platform Disney+ Hotstar bermula 13 Ogos lalu.

ZAHIRIL mengakui terasa seperti ditolak oleh sesuatu semasa hendak menjayakan sebuah adegan lompatan menyebabkan dia terjatuh dalam keadaan salah dan mendapat kecederaan ringan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI