fbpx

Veteran kesepian bakal terima 1,000 kad hari lahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annall telah menerima lebih 700 keping kad hari lahir setakat ini. – SWNS/ Jack Annall

LONDON – Seorang veteran Tentera Udara Diraja Britain (RAF) yang kesepian dijangka menerima lebih 1,000 keping kad hari lahir selepas pekerja pusat penjagaan merayu kepada orang ramai untuk menjadikan sambutan ulang tahunnya sebagai sesuatu yang istimewa, lapor akhbar Metro UK semalam.

Jack Annall yang bakal menyambut hari lahir ke-101 pada 19 Ogos ini tidak akan menerima lawatan daripada anak perempuannya, Mary memandangkan dia kini menetap di Australia dan tidak dapat pergi ke Britain disebabkan sekatan Covid-19.

Disebabkan keadaan itu, pekerja pusat jagaan warga emas  yang didiami Annall di Yorkshire Barat, Vicky Gudgin mengadakan  kempen untuk merayu orang ramai supaya menghantar kad ucapan buat duda tersebut.

“Saya tahu Annall berasa sedih kerana tidak dapat berjumpa dengan anaknya, dan disebabkan itu saya berfikir apa yang boleh dilakukan untuk menaikkan semangatnya?

“Jadi, saya ingin mengajak masyarakat untuk turut serta dan sambutan yang diterima setakat ini amat hebat,” kata Gudgin.

Tambah wanita itu, pada awalnya  dia meminta bantuan rakan sekerja dan penghuni di pusat-pusat penjagaan lain untuk mengirim kad kepada Annall.

Bagaimanapun, selepas kempen itu dimuat naik di media sosial, lebih daripada 700 keping kad telah diterima setakat ini daripada penduduk di seluruh dunia.

“Pada awalnya, saya hanya ingin mengumpul sebanyak 101 keping kad, namun angka itu telah mencecah 700 setakat ini.

“Selain itu, terdapat 200 lagi kad yang dikirim oleh bekas anggota RAF sedang dalam perjalanan selain dari sebuah organisasi tempatan. Kami menjangkakan lebih daripada 1,000 kad bakal diterima,” ujarnya.

Selain itu, Gudgin berkata, beberapa syarikat dan individu turut menawarkan untuk menghantar hadiah dan persiapan hiburan termasuk menyediakan penyanyi untuk majlis sambutan hari lahir Annall.

Beberapa wakil RAF dan datuk bandar turut dikatakan akan menghadiri majlis tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN