fbpx

Tahun depan sahaja ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

HARI ini pastinya ramai tertunggu-tunggu adakah pertemuan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara seperti yang diuar-uarkan sejak Sabtu lalu benar berlaku.

Sesi menghadap yang dikatakan berkisar tentang keabsahan Perdana Menteri itu telah menjadi bualan rakyat jelata sekitar lebih seminggu lalu.

Sudah tentu, rakyat menantikan apakah pengakhiran kemelut politik yang tidak berkesudahan sejak sekian lama di saat kita semua sedang berhadapan dengan musuh yang tidak kelihatan dan terlalu berbahaya.

Di saat rakyat diminta bersatu hati mengikut segala prosedur operasi standard bagi mengekang penularan, para pemimpin pula dilihat bertegang urat dalam menentukan siapa layak menerajui negara.

Adakah peralihan tampuk kepimpinan pada masa kini akan dapat menurunkan jangkitan kes positif ke tiga, dua atau satu digit? Siapa tahu pemimpin yang akan datang ada kuasa magis.

Selain kemelut politik, kita juga tertunggu perkhabaran daripada Kementerian Pendidikan berhubung sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan pada 1 September ini.

Di saat semua lantang minta ditangguhkan, namun pihak bertanggungjawab masih diam seribu bahasa.

Melihat angka jangkitan harian, penulis pasti ibu bapa tidak yakin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah.

Walaupun kadar vaksinasi di beberapa negeri telah melebihi 40 peratus dan ada yang mencapai 50 peratus, namun itu tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat.

Program imunisasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula hanya akan dimulakan 15 September ini, namun bergantung kepada bekalan.

Berdasarkan takwin yang dikeluarkan kementerian sebelum ini, persekolahan hanya tinggal lebih kurang 12 minggu sahaja lagi dari tarikh 1 September.

Tidak lama pun, bagi penulis perkasakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kita sudah pun terbiasa dengannya.

Sememangnya diakui PdPR tidak sama dengan bersemuka, jauh bezanya, namun inilah yang perlu kita hadapi.

Sekurang-kurangnya tunggulah kadar kes positif turun, bukannya puluhan ribu. Mungkin tahun depan sesuai untuk sekolah dibuka saat imuniti kelompok dicapai.

Serik rasanya, selang beberapa hari sekolah dibuka, ada kelas yang terpaksa ditutup kerana ada kes positif. Itu belum lagi berpuluh-puluh pelajar diarah balik kerana ada simptom.

Tidak kurang juga sekolah terpaksa buat penggiliran selepas penularan jangkitan di dalam kelas.

Kehadiran varian Delta, Lambda benar-benar membuatkan kita hidup dalam ketakutan. Apatah lagi mereka yang positif tidak bergejala selain masih ramai golongan anti-vaksin di luar sana.

Penulis percaya masih ada sinar di hujung terowong. Bersabarlah sedikit. Jika berubah pun tampuk kepimpinan, harap sektor pendidikan tidak caca marba.

Akhir sekali, binalah sebanyak mungkin kebahagiaan dan kenangan kerana tidak tahu bila pengakhiran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI