fbpx

‘Saya kejar dia sambil menangis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video seorang lelaki yang tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi peristiwa rantai emasnya pemberian kakaknya disamun seorang penunggang motosikal kelmarin.

PETALING JAYA – Video memaparkan kisah seorang mangsa ragut yang berkongsi momen dia kehilangan rantai emas pemberian kakaknya menyentuh hati ramai pengguna laman Twitter hari ini.

Pemilik bengkel motosikal di Taman Setia Rawang itu berkata, rantai leher tersebut mempunyai nilai sentimental kerana ia diberi ketika kakaknya ingin melangkah keluar dari rumah selepas melangsungkan perkahwinan.

“Bangsa saya tidak mahu cakap kerana dia anak Malaysia saya pun anak Malaysia. Saya kejar dia sambil menangis. Tetapi tidak mampu. Motosikal dia laju dan ketika itu saya bawa Honda EX5.

“Selepas itu saya jumpa satu kedai di lokasi berdekatan ada CCTV (rakaman televisyen litar tertutup). Tapi saya tidak mahu siarkan kepada umum. Orangnya tidak nampak. Tetapi nampak motosikal dan beg Grab,” katanya dalam tiga siri video yang dimuat naik pemilik akaun Twitter bernama @Rudyakhbar.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi kelmarin ketika dia menghubungi seorang pelanggan dan berharap video yang telah diulang kicau lebih 22,000 kali tersebut tular hingga sampai kepada ‘rider’ berkenaan.

“Memang saya marah tapi saya fikir mungkin situasi dia susah sebab musim pandemik ini semua orang susah. Pendapatan kurang. Jadi kalau awak susah saya boleh tolong bayar RM500 cuma bagi balik rantai itu.

“Awak boleh datang bengkel saya. Kedai saya tiada CCTV jangan risau. Awak boleh tinggalkan di sini dan beri nombor akaun. Walau apa-apa situasi jangan samun. Saya mahu awak insaf dan menyesal,” ujarnya.

Lelaki itu turut memberitahu, dia tidak pernah mengibarkan bendera sama ada di rumah atau kedai dan begitu teringin melakukannya sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

“Pada musim Covid-19 saya tengok petugas barisan hadapan abang polis, jururawat, doktor semua saya pun rasa letih dan hormat mereka. Tetapi bila jadi begini saya rasa kita belum merdeka kerana diancam perompak dan rasa tidak bebas untuk memakai barang perhiasan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter menggunakan akaun bernama @Danielzaidi berkata, dia merupakan pelanggan tetap pemilik bengkel tersebut dan menyifatkan lelaki itu seorang yang jujur.

“Setiap bulan aku akan hantar motosikal aku di bengkel dia untuk servis. Abang ini memang seorang yang bercakap jujur. Baik hati. Lemah lembut. Tengok dari reaksi mukanya dah tahu rantai itu amat bermakna bagi dia. Tuhan merahmati awak abang,” tulisnya.

“Walaupun tengah koyak, dia tetap tenang tiada maki hamun, tiada sentuh isu sensitif. Mentaliti kelas pertama. Hormat,” puji @muhdnaqibr.

Dalam pada itu, Grab Malaysia dalam satu hantaran maklum balas di Twitter berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

“Hai Rudy, perkara ini sudah dilaporkan oleh mangsa kepada pihak berkuasa. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Harap maklum,” ciapnya hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI