fbpx

Mr.Pepper bina rangkaian usahawan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fahmy menunjukkan produk Mr. Pepper di pejabatnya di Melaka baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bukan mudah untuk membangunkan sebuah empayar perniagaan jika tiada ilmu yang lengkap di dada dan ia tidak boleh dilakukan secara sembrono mengikut gerak hati dan idea pemikiran sendiri.

Jika silap langkah, boleh tergadai segala harta benda, tanggung kerugian dan pastinya akan membebankan diri sendiri termasuk ahli keluarga.

Begitulah yang dialami Peng­asas Mr.Pepper Foods Sdn. Bhd., Mohamad Fahmy Jamil dalam melayari perjalanan dan kelangsungan hidupnya sebelum mengoperasikan syarikat pengeluaran makanan sejuk beku khususnya kambing perap dengan jenama Mr.Pepper.

Sebelum itu, pada tahun 2003, beliau yang mahu berniat untuk mengubah nasib keluarga telah berniaga secara sambilan dengan menjual pelbagai produk seperti pakaian kanak-kanak, rumpai laut dan biskut raya.

Usahawan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu kemudiannya terjun dalam bidang penternakan kambing di kawasan rumah ibu mertuanya di Alor Gajah, Melaka pada tahun 2015.

Kemudian ia berkembang kepada tawaran khidmat jualan kam­bing golek dan katering.

“Ketika itu, saya tiada ilmu bisnes dan hanya mengikut ke­pala sendiri sehingga terpaksa menanggung hutang hampir RM200,000 dan pinjaman dibuat atas nama isteri, ini telah memberi kesan kepada bajet bulanan keluarga ke­rana gajinya terpaksa dipotong banyak untuk membayar pinjaman berkenaan.

“Saya sangat malu pada diri sendiri ketika itu kerana niat untuk berniaga pada awalnya adalah untuk membantu keluarga tetapi sebaliknya berlaku,” kata beliau ketika ditemu bual baru-baru ini.

Turut hadir dua ejennya yang berjaya iaitu Shahrolnizam Peet dan Nur Elina Norlizan.

Mohamad Fahmy, 34, yang berasal dari Muar, Johor itu mula nekad untuk bangun dengan membetulkan segala kesilapan­nya dengan mempelajari pelbagai aspek ilmu berniaga.

Pada tahun 2017, beliau yang pernah berkhidmat sebagai ­angkatan tentera selama 10 tahun telah menghasilkan produk sulungnya iaitu kambing perap yang dikenali sebagai Mr.Pepper.

Beliau mengguna pakai ilmu perniagaan, promosi dan pemasarannya untuk membina jenama produk makanan sejuk beku itu bermula daripada ahli keluarga, adik beradik, rakan dan jiran serta berniaga di pelbagai tempat seperti ekspo dan juga bazar.

Dalam masa sama, bapa kepada dua cahaya mata ini memperkuatkan aktiviti mempromosikan produk di media sosial untuk membina rangkaiannya ke seluruh negara.

“Bermula secara kecil-kecilan di kawasan rumah mak mertua, saya bina premis kecil sendiri di sebelah rumah dan kini memiliki kilang sendiri selain dibantu oleh 20 kakitangan bersama-sama membangunkan jenama Mr.Pepper.

“Jika dulu ia hanya popular di Melaka, tetapi kini penguasaan pasaran semakin meluas sehingga ke seluruh negara serta menembusi pasaran negara ji­ran di Singapura dan Brunei,” jelas­nya.

Pertumbuhan perolehan juga telah bertambah kepada RM3 juta pada tahun 2020 berbanding RM600,000 tahun sebelumnya.

Beliau mengunjurkan jualan pada tahun ini bakal mencecah kepada RM5 juta dengan kapasiti pengeluaran mencecah sehingga 150 tan daging kambing.

Ditanya mengenai pilihan produk kambing perap yang di­pilihnya sebagai perniagaan te­ras, Mohamad Fahmy me­ne­rangkan, makanan sejuk beku itu mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri dan ber­potensi besar dengan permintaan daripada pasaran yang semakin luas di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai produk Mr.Pepper, beliau memberitahu, selain memiliki rasa sos perapan kambing perap yang menyelerakan, ia juga terkenal kerana dagingnya yang lembut dan tidak liat dan boleh dimasak dalam masa 10 minit untuk mendapatkan menu masakan yang sempurna.

Harganya di antara RM35 hingga RM49 mengikut saiz berat pakej dan RM29 untuk ayam perap itu juga mampu dimiliki oleh semua kategori pelanggan.

Kilang yang memiliki pensijilan halal itu juga menghasilkan produk yang tahan lama disimpan kerana cara pembungkusannya melalui vakum akan membo­lehkan kualiti makanan te­rus terjaga.

Mohamad Fahmy menjelaskan, Mr.Pepper dijual secara online melalui rangkaian pengeda­rannya yang terdiri daripada 2,000 usahawan di seluruh negara.

Sementara itu, Shahrolnizam yang merupakan bekas pramugara mula menyertai Mr.Pepper pada tahun 2019.
Beliau menimba pelbagai ilmu berniaga sehingga berjaya ­mengubah taraf hidupnya yang sebelum ini bergelut dengan kepayahan sehingga kereta dan rumah tergadai.

Melalui nekad untuk membeli rumah untuk kedua ibu bapa­nya, usahawan bergelar master stokis ini mampu mencatat perolehan jualan antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan selain mendapat sokongan daripada 300 ejen di bawahnya.

Nur Elina memulakan mo­dal daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM300 telah membolehkan suri rumah ini memiliki rangkaian perniagaannya yang semakin meluas.

Perolehan jualan melalui komitmen daripada 100 ejen di bawahnya kini telah mence­cah kepada RM60,000 hingga RM70,000 sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI