PETALING JAYA – Masa depan lebih setengah juta individu di negara ini terjejas apabila mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki lesen memandu kerana semua institusi memandu (IM) masih ditutup sejak 1 Jun lalu akibat Covid-19.
Daripada jumlah itu, hampir 80 peratus adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan belia yang kini amat memerlukan lesen memandu terutamanya untuk memudahkan mereka keluar bekerja.
Bagaimanapun, rata-rata pengusaha IM masih belum mengetahui bilakah mereka akan dapat beroperasi semula kerana ia tidak dinyatakan secara jelas dalam Pelan Pemulihan Negara.
Pengerusi Persatuan Sekolah Memandu Kereta Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, Harun Shafiee (gambar kecil) berkata, masalah itu membabitkan 213 sekolah memandu di seluruh negara.
Menurutnya, kebanyakan pemohon lesen adalah mereka yang berusia antara 16 hingga 30 tahun dan terdapat dua kategori pemohon yang paling terjejas.
“Pertama adalah pelajar sekolah menengah lingkungan umur 16 hingga 17 tahun serta lepasan SPM yang mahu mendapatkan lesen memandu untuk pergi ke sekolah dan sebagai persediaan sebelum melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kedua adalah lepasan IPT serta golongan belia yang berusia antara 21 hingga 25 yang memohon lesen memandu untuk tujuan bekerja ketika musim pandemik seperti menjadi rider makanan atau penghantar barangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Harun yang juga Pengerusi Eksekutif Institut Memandu Kenderaan Darat GPSM Sdn. Bhd. (IMKEDA) berkata, lebih 6,000 calon sedang menunggu untuk mendapatkan lesen memandu di IMKEDA.
“Lebih 5,000 pemohon lesen memandu kompeten (CDL) juga tertangguh semua urusan mereka termasuk latihan dan ujian memandu. Bagi pemohon lesen memandu vokasional (PSV dan GDL) pula terdapat lebih 1,000 calon yang terjejas,” katanya.
Harun berkata, ketika dibenarkan beroperasi sebelum ini, pihaknya mampu menyelesaikan sebanyak 1,370 pemohon lesen memandu bagi semua kelas lesen CDL, manakala PSV pula, 280 pemohon berjaya mendapatkan lesen.
Bagaimanapun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, jumlah calon menurun akibat penutupan operasi hampir tiga bulan.
“IMKEDA hanya dapat menyelesaikan permohonan lesen sebanyak 12,157 orang pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 19,157.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skem Driving Academy Sdn. Bhd., Ahmad Shahaime Ariffin pula memaklumkan terdapat lebih 4,000 calon yang kini masih tertangguh untuk mendapatkan lesen memandu.
Bilangan calon itu meliputi individu yang memohon sebelum PKP yang secara puratanya kira-kira 800 orang sebulan.
“Rata-rata calon yang memohon lesen terdiri daripada belia dan anak muda yang tidak pernah memiliki lesen memandu selain mereka yang mahu menambah kelas lesen.
“Bagaimanapun, selepas kami tidak dibenarkan beroperasi, ada pemohon yang telah membatalkan tempahan mereka,” ujarnya.
Ekoran situasi itu, syarikatnya mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta sehingga kini dan jumlahnya dijangka meningkat jika arahan penutupan dilanjutkan. -K! ONLINE














