fbpx
AYU DAMIT menunjukkan surat tawaran menyambung pengajian di ASWARA.

Enggan jadi ‘penyanyi kosong’, Ayu Damit sambung belajar di ASWARA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Biarpun sudah bergelar seorang penyanyi profesional, Ayu Damit masih gigih untuk menuntut ilmu apabila bakal menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Berkongsi kepada Kosmo!, Ayu atau nama penuhnya Norayu Damit, 32, berkata dia berasa teruja apabila ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang berkaitan kariernya sebagai penyanyi kerana tidak mahu bergelar ‘penyanyi kosong’.

“Alhamdulillah. Kalau ikutkan saya sudah menerima surat tawaran untuk mengikuti pengajian di ASWARA beberapa minggu lalu, namun saya terlepas pandang surat yang dikirim menerusi emel.

“Saya pun sudah menghadiri sesi temu duga baru-baru ini dan akan menyambung pengajian dalam masa terdekat selama tiga semester (setahun). Insha-Allah,” katanya teruja.

Kata Ayu, dia terfikir untuk menyambung pengajian walaupun selepas sekian lama bergelar penyanyi kerana merasakan dia perlu mempunyai ilmu dalam bidang muzik dan dapat menggunakan ilmu tersebut untuk menjadi seorang penyanyi yang baik.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai asas ilmu dalam bidang muzik. Mana tahu suatu hari nanti saya dapat menjadi seperti guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat?

“Saya merasakan ilmu itu sangat penting untuk menjadikan seseorang itu berjaya dalam karier yang diceburi mereka,” jelasnya kepada Kosmo!

Bertanya tentang pandangan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, Ayu berkata suaminya itu tidak mempunyai apa-apa halangan apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya.

“Tapi suami ada ingatkan supaya pandai membahagikan masa. Sebab dia tahu saya banyak melakukan pelbagai pekerjaan. Mana nak uruskan perniagaan kek pisang, kuih bahulu dan ladang cili,” katanya.

Dalam pada itu, Ayu percaya usahanya itu mampu menjadi inspirasi kepada orang lain supaya tidak pernah sesekali jemu untuk menuntut ilmu dan berharap dapat menghabiskan pengajiannya. -K! ONLINE

POPULAR