BULU roma gadis bertubuh kecil molek ini meremang setiap kali melalui kedai menjual pakaian terpakai (bundle).
Ini disebabkan, dia pernah diganggu lembaga besar selepas membeli jaket di sebuah butik bundle di sebuah pekan kecil di selatan tanah air membuatkannya trauma sehingga kini.
Menurut gadis yang ingin dikenali sebagai Amira, sejak menuntut di kolej lagi, dia gemar membeli-belah di butik bundle dan aktiviti tersebut sudah menjadi hobi setiap kali ada waktu terluang.
Bagaimanapun, tidak disangkanya hobi itu ‘memakan diri’ apabila dia diganggu makhluk yang menjelma sebagai lembaga besar dikatakan sebagai penunggu jaket bundle yang dibelinya.
“Saya memang suka membeli pakaian terpakai kerana selain murah, ia juga lebih trending dan menarik berbanding pakaian-pakaian mahal yang dijual di gedung terkemuka.
“Hampir setiap kali cuti hujung minggu, saya pergi ‘memburu’ pakaian bundle.
Biasanya kedai-kedai yang membawa masuk pakaian terpakai dari Jepun menjadi pilihan kerana fesyennya agak unik,” cerita Amira.
Kisah seram yang dialami Amira bermula selepas dia membeli jaket daripada sebuah gedung pakaian terpakai ketika bertugas di luar daerah di sebuah pekan kecil.
Ceritanya, ketika pertama kali melangkah masuk ke dalam kedai itu, matanya pantas ‘menangkap’ sehelai jaket berwarna merah yang tersarung pada badan patung.

Tanpa berfikir panjang, dia terus membelinya memandangkan harganya murah, cuma RM15 bagi sehelai jaket berjenama yang cantik. Dia tidak membelek pakaian tersebut seperti kebiasaannya.
“Pada malam itu sewaktu ingin tidur di hotel penginapan, saya rasa seperti ada yang tidak kena. Gerak-geri seperti diperhatikan seseorang, kelihatan seperti satu lembaga besar sehingga saya turut bermimpi buruk.
“Saya menyangka ia mungkin disebabkan kepenatan bekerja.
“Bagaimanapun, perkara sama berlaku pada malam kedua sehingga saya meracau.
“Peliknya rakan sebilik saya tidak pula mengalami apa yang saya rasa,” jelasnya.
Pada keesokan hari selepas selesai tugasan, dia dan rakan terus bergegas pulang ke ibu negara.
Amira berasa gembira kerana menyangka dia tidak akan diganggu lagi oleh lembaga bertubuh besar itu.
Telahannya meleset kerana sepanjang perjalanan pulang, dia sesekali terlihat ada susuk tubuh bertenggek di atas bonet keretanya.
Keretanya juga terasa berat seakan membawa muatan berlebihan.
“Perjalanan yang mengambil masa kira-kira empat jam terasa begitu panjang. Saya bercerita kepada rakan mengenai apa yang saya lihat dan alami.
“Dia kata, mungkin saya ada tersalah cakap sewaktu mengunjungi salah satu tempat yang kami lawati atau terbawa pulang pasir atau batu tanpa sengaja ketika berada di kawasan sungai.
“Setiba di rumah, saya terus membersihkan kasut dan pakaian kerana bimbang apa yang diperkatakan rakan itu benar,” tambahnya.
Malangnya, walaupun sudah membersihkan semua pakaian, Amira masih lagi diganggu. Keadaan tersebut menyebabkan dia tidak boleh melelapkan mata dan berada dalam ketakutan.
Dengan bantuan seorang rakan, Amira dibawa berubat dengan seorang pengamal perubatan tradisional selepas insiden gangguan yang dialaminya berlanjutan selama seminggu.
Alangkah terkejutnya Amira apabila diberitahu gangguan tersebut datang daripada sehelai pakaian yang dibelinya.
“Saya terus teringatkan jaket yang dibeli. Saya disuruh memulangkan semula pakaian tersebut di tempat asal,” ujarnya.
Ceritanya lagi, ketika memulangkan pakaian itu, pemilik kedai bertanya adakah dia diganggu oleh lembaga besar. Mendengar pertanyaan itu, Amira terkejut kerana dia langsung tidak bercerita tentang perkara berkenaan.
Pemilik kedai memberitahu, itu bukanlah kali pertama jaket tersebut dipulangkan semula kerana 10 orang yang pernah membelinya sebelum ini turut memulangkannya kerana tidak tahan diganggu.
Kata pemilik kedai itu lagi, dia pernah cuba membuang pakaian tersebut, tetapi menerima gangguan yang sama seperti Amira.
Mahu tak mahu tidak, dia terpaksa menyarungkan jaket itu pada salah sebuah patung di kedainya.
——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














