fbpx

‘Demi duit, orang mudah berselingkuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA HUDA

NAMA pelakon berbakat besar ini telah terpahat pada kanvas dunia seni hiburan tempatan selama hampir dua dekad. Pemilik empunya nama pentas, Nabila Huda, rasanya sudah tidak perlu lagi diperkenalkan. Satu nama yang akan diingati sebagai pelakon versatil yang mampu menggarap apa jua watak dengan cukup sempurna, sehingga meninggalkan kesan di hati penonton.

Jika watak sedih, emosinya boleh membuatkan penonton turut sama berduka hingga mengalirkan air mata. Jika membawakan watak antagonis, penjiwaannya mampu menjadikan penonton diselubungi kebencian.

Keberkesanannya dalam lakonan telah melayakkan Nabila atau mesra disapa Abil untuk menjulang beberapa trofi anugerah yang mengiktiraf bakat lakonannya.

Segala-galanya sudah dikecapi. Populariti, pengiktirafan, pengaruh peminat yang ramai serta mendapat kepercayaan oleh pengarah dan penerbit.

Pada hemat ramai, pasti ada yang sudah meletakkan satu takrif bahawa Nabila sendiri sudah mencapai suatu tahap kepuasan dalam karier.

Namun baginya, kepuasan yang dibayangkan ramai itu tidak dapat diukur.

KADANGKALA anak kepada penyanyi legenda Amy Search ini mengakui sikap mahukan kesempurnaan dalam kerja menjadi antara ‘masalah’ utama yang harus ditanganinya dengan teliti.

Biarpun telah sudah hampir 20 tahun berkelana dalam dunia lakonan, hampir setiap hari dia masih ketagih untuk menimba perkara baharu untuk menjadikan pekerjaannya pada kualiti lebih baik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sebab masih lagi kuat untuk teruskan perjuangan demi mengejar sebuah impian. Kalau ikutkan, sama ada saya sudah berpuas hati atau tidak, saya selesa dengan pencapaian yang saya perolehi hari ini.

“Setiap hari, pasti akan ada benda baharu yang saya akan pelajari secara tidak langsung. Walaupun hampir 20 tahun dan untuk tahun-tahun seterusnya, saya tidak akan berhenti daripada mengejar impian sejak hari pertama saya beraksi di hadapan kamera,” ujarnya.

Mengakui dunia lakonan sudah sebati dengan jiwanya, Nabila juga terlalu menyayangi kerjaya tersebut sehingga tidak pernah terdetik untuk mengucapkan selamat tinggal terhadap pekerjaannya.

Alang-alang sudah bergelumang dalam dunia seni lakon dalam tempoh yang cukup matang, pasti Nabila mahu kekal relevan dan dikenali untuk jangka masa panjang.

Ketika ditebak tentang sasaran ke arah tersebut, perkara utama harus dilakukan kini, adalah kekal setia (mencintai dunia lakonan) dan sentiasa merendah diri.

“Impian itu datang dengan disiplin. Kalau kita jaga, insya-Allah kita tidak perlu risau untuk fikirkan cara untuk kekal relevan.

“Setiap orang punya keistimewaan masing-masing dan saya tahu keistimewaan yang saya miliki sedikit istimewa.

“Perkara penting untuk kekal relevan sebenarnya adalah kesetiaan. Saya kena setia dengan impian. Kadang-kadang orang mudah ‘berselingkuh’.

“Bila sudah terkenal, mula lupa diri dan rebut semua peluang demi duit,” ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu.

Foto: BIBO ASWAN Solekan/penata gaya: YANA BAHARUDIN Rambut: YUSO Busana: COACH

Tak terfikir nak jadi legenda

Bergelar anak kepada penyanyi legenda terkenal iaitu Amy Search, Nabila mengakui dia tidak pernah terfikir untuk bergelar ‘legenda’ seperti bapanya.

Dengan rasa rendah diri, bagi Nabila, sudah memadai jika peminat menghargai bakat yang dimilikinya sebagai pelakon.

“Saya langsung tidak pernah terfikir untuk bergelar legenda. Sekarang pun saya seronok kongsikan semua pengetahuan asas untuk jadi pelakon yang baik secara percuma.

“Saya kongsikan ilmu yang saya sendiri amalkan sehingga ke hari ini dan berkesan untuk menjadi seorang bintang yang berdisiplin dalam industri.

Atas dasar disiplin yang tinggi itulah membuatkan Nabila juga tidak pernah sesekali berasa putus asa dalam industri untuk menjadi seorang pelakon yang bagus dan berpengetahuan.

Baginya, untuk menjadi seorang pelakon berjaya memerlukan kesabaran dan minat mendalami ilmu.

“Saya memang mahu terus kekal dalam industri sebab bakat bukan sebab terkenal secara mendadak, lepas itu hilang tanpa khabar berita,” tegasnya.

NABILA HUDA tidak pernah terlintas untuk ‘bersara’ daripada dunia seni lakonan.Bakatnya akan terus dicurahkan selagi kudrat masih bersisa.

Bersungguh-sungguh pun satu ‘masalah’

Berbicara tentang kerjaya baharunya sebagai pengacara rancangan hiburan popular, Melodi, Nabila berasa sangat berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh pihak Media Prima untuk mengendalikan program tersebut.

Bahkan, untuk memberikan yang terbaik, Nabila bukan sahaja perlu bersungguh-sungguh, tetapi dia juga harus tampil menarik sehingga sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk persiapan dari segi penampilan.

“Masalah besar dalam kerjaya saya ialah, saya jenis yang bersungguh-sungguh kalau buat satu-satu benda, termasuk akan berhabis duit demi memastikan segalanya sempurna.

“Untuk Melodi, benar saya ada mengeluarkan modal sendiri dalam penyediaan keperluan seperti pakaian termasuk ada pasukan sendiri untuk solekan, rambut dan penataan gaya.

“Secara tidak langsung saya dapat berkongsi rezeki sebenarnya dengan orang lain ketika ramai tidak dapat bekerja semasa tempoh pandemik,” jelasnya.

SELAMA hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Nabila mengakui masih ketagih untuk menimba pengalaman dan ilmu demi kepuasan dan memberikan yang terbaik buat semua.

Menyentuh tentang situasi Covid-19 hari ini, jujur dari hati, Nabila tidak nampak sebarang perubahan positif sama ada kes harian atau kematian.

Bagaimanapun, sebagai ‘public figure’ atau figura umum, Nabila sedaya-upaya menggunakan pengaruhnya sebagai selebriti untuk menyebarkan aura positif kepada orang ramai.

“Insha-Allah, saya akan menggunakan platform media sosial untuk memberi pengaruh positif kepada orang ramai supaya tetap bersyukur tatkala semua sedang terkesan tentang musibah yang berlaku hari ini,” ujarnya.

“Saya harap, ada juga perkara lain yang boleh saya lakukan untuk buat insan lain tersenyum,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI