fbpx

Kebakaran hutan di AS tingkat risiko Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah kawasan di Greenville, California yang musnah dalam kebakaran hutan Dixie pada 12 Ogos lepas. – AFP

BOSTON, MASSACHUSETTS – Satu kajian mendapati pencemaran udara zarah kecil kesan daripada asap kebakaran hutan di bahagian barat Amerika Syarikat (AS) meningkatkan risiko jangkitan dan kematian Covid-19, lapor laman berita United Press International semalam.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances itu, hampir 20,000 kes Covid-19 dan 750 kematian di negeri California, Oregon dan Washington antara bulan Mac dan Disember tahun lepas berkemungkinan berkaitan dengan peningkatan pencemaran udara zarah kecil atau dikenali sebagai PM2.5, terhasil daripada kebakaran hutan di kawasan-kawasan tersebut.

“Tahun 2020 membawa cabaran yang sukar dalam kesihatan awam iaitu dengan kewujudan pandemik Covid-19 dan kebakaran hutan di seluruh bahagian barat AS.

“Dalam kajian ini, kami menyediakan bukti yang mengatakan bahawa perubahan iklim, yang meningkatkan kekerapan dalam intensiti kebakaran hutan serta pandemik ini adalah satu gabungan yang memusnahkan,” kata penulis bersama kajian tersebut, Francesca Dominici.

Tambah Dominici, sama seperti sumber-sumber lain pencemaran udara, kebakaran hutan menghasilkan kadar PM2.5 yang tinggi, di mana zarah-zarah mikroskopik tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

“Pendedahan kepada zarah-zarah tersebut menyebabkan masalah-masalah kesihatan yang utama, termasuk asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik dan penyakit-penyakit berkaitan pernafasan serta boleh membawa maut,” katanya.

Berdasarkan data kajian tersebut, ketika aktiviti kebakaran hutan berada pada tahap terburuk di kawasan-kawasan terlibat iaitu pada 15 Ogos hingga 15 Oktober tahun lepas, tahap PM2.5 harian adalah lima kali lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

Daerah Whitman di Washington misalnya, merekodkan peratusan tertinggi bagi jumlah kes Covid-19 yang disebabkan oleh kadar tinggi PM2.5 ketika kebakaran hutan, iaitu pada lebih 18 peratus.

Sementara itu, sebanyak 41 peratus daripada kematian disebabkan virus itu di daerah Butte, California adalah disebabkan oleh kadar tinggi PM2.5 ketika kebakaran hutan.

“Perubahan iklim akan membawa kepada keadaan lebih panas dan kering di bahagian barat AS, sekali gus menyebabkan aktiviti kebakaran hutan mudah berlaku.

“Justeru, kajian ini menyediakan maklumat penting kepada pembuat dasar mengenai bagaimana kesan daripada satu krisis global, iaitu perubahan iklim dapat mengakibatkan kesan yang signifikan kepada pandemik Covid-19,” kata Dominici. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN