fbpx

Aksi kandar nasi imbau nostalgia tahun 1900-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelibat tukang kandar membawa nasi kandar menarik perhatian orang ramai di bandar raya George Town, semalam.

GEORGE TOWN – Pengusaha Restoran Nasi Kandar Hameediyah di Jalan Campbell di sini mengembalikan nostalgia kaedah tradisional penjualan nasi kandar dengan menampilkan dua pekerja membawa makanan berkenaan dengan cara mengandar, semalam.

Tukang kandar lelaki yang berpakaian ala India Muslim dengan berkain pelikat, memakai kemeja-T berwarna putih dan bersongkok itu dilihat cuba mengimbau kembali kepada suasana sekitar tahun 1900-an sambil memikul barang jualan.

Ia merupakan gimik ketika restoran itu menghulurkan sebanyak 250 bungkus nasi kandar percuma kepada orang ramai dan golongan kurang berkemampuan di sekitar bandar raya ini.

Pemilik restoran, Ahamed Seeni Pakir Abdul Syukur berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi menunjukkan kepada orang ramai bagaimana nasi kandar dijual pada zaman dahulu sehingga ia turut mendapat nama daripada kaedah tersebut.

“Bagitulah cara moyang saya menjual nasi kandar ketika di awal perniagaan pada tahun 1907 dengan mengandar dua periuk yang disangkut pada sebatang kayu panjang untuk dijual di padang.

“Namun, kaedah itu tidak digunakan lagi selepas perniagaan dibuat sepenuhnya di dalam kedai kira-kira 20 tahun kemudian,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Ahamed Seeni Pakir berkata, pihaknya memahami ramai yang terjejas di musim pandemik ini, justeru terpanggil mengambil inisiatif tersebut bagi menghulurkan bantuan.

“Bukan saja pada hari ini, tetapi pada setiap hari kita tetap membantu mereka,” katanya yang merupakan generasi ketujuh perusahaan itu.

Restoran berkenaan merupakan salah satu ikon pelancongan Pulau Pinang apabila dinobatkan sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini yang berusia 114 tahun pada tahun lalu oleh Malaysia Book of Records (MBR). – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI