Pakar pemakanan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi berkata, barli merupakan bijirin kegemaran Nabi Muhammad SAW yang dinikmati dalam bentuk roti, bubur, serbuk barli, minuman dan talbinah.
“Talbinah dihasilkan dengan menggunakan barli yang dicampur bersama susu dan madu asli,” jelasnya.
Saidatina Aisyah RA bahkan pernah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, talbinah dapat menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian rasa sedih.”
Terangnya, berdasarkan kajian pensyarah tempatan untuk melihat kesan talbinah terhadap mood dan masalah kemurungan warga tua di Seremban, Negeri Sembilan mendapati, talbinah berpotensi untuk mengurangkan kemurungan.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
WANITA berusia 27 tahun itu sudah sebati dengan pengambilan barli dalam hidupnya. Farah Natasha Kamarulzaman mengakui, dia selalu mengamalkan pengambilan bijirin tersebut dalam pemakanannya terutama semasa hamil.
Kata ibu muda itu, mereka yang mengandung selalunya akan berasa panas untuk tidur pada waktu malam.
“Namun, dengan mengamalkan minuman air barli, ia menyejukkan badan saya sekali gus membantu saya mendapatkan tidur yang baik pada waktu malam.
“Selain mengamalkan minum air barli, saya juga sering menjadikan bijirin ini sebagai ramuan untuk dijadikan bubur bagi menggantikan beras,” katanya kepada K2 saat diminta mengulas mengenai pengambilan barli yang menjadi amalannya.
Sememangnya minuman air barli begitu popular dikaitkan sebagai ejen penyejukan. Menurut best-natural-food.com, perubatan tradisional Cina sejak dahulu lagi menganggap barli sebagai bahan ‘penyejuk’ yang boleh menurunkan suhu badan.
Namun, sebenarnya ada banyak lagi hal mengenai barli yang ramai antara kita terlepas pandang.
Umum mengetahui bahawa buah seperti kurma dan zaitun merupakan makanan sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Barli juga sebenarnya makanan sunnah Rasulullah yang boleh diamalkan oleh semua orang kerana mempunyai manfaatnya yang tersendiri untuk kesihatan.
Pakar pemakanan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi dalam satu pembentangan maya mengenai barli baru-baru ini berkata, barli merupakan satunya-satunya bijirin yang tersenarai sebagai makanan sunnah.
“Berdasarkan rujukan hadis, barli merupakan bijirin kegemaran Nabi Muhammad SAW. Baginda gemar menikmati barli dalam bentuk roti, bubur, serbuk barli dan juga sebagai minuman.
“Selain itu, talbinah juga merupakan salah satu makanan yang Nabi Muhammad SAW sukai. Talbinah dihasilkan dengan menggunakan barli yang dicampur bersama susu dan madu asli,” jelasnya.
Dalam hadis yang terkenal mengenai talbinah, Nabi Muhammad SAW menganjurkan pengambilannya ketika berlakunya peristiwa dukacita bagi menenangkan hati
dan menghilangkan kesedihan.
Saidatina Aisyah RA bahkan pernah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, talbinah dapat menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian rasa sedih.”
Kongsi Nur Hayati, berdasarkan kajian pada tahun 2013 yang dilakukan oleh beberapa pensyarah makanan, talbinah ini bahkan boleh mengurangkan rasa stres, depresi dan ‘penyembuh’ kesedihan.

Terangnya, berdasarkan kajian pensyarah-pensyarah tempatan itu yang menjalankan ujian klinikal selama tiga minggu untuk melihat kesan talbinah terhadap mood dan masalah kemurungan warga tua di Seremban, Negeri Sembilan mendapati, talbinah berpotensi untuk mengurangkan kemurungan.
“Memetik laporan itu, secara keseluruhan, talbinah adalah makanan berkhasiat yang dapat mengurangkankemurungan, melegakan tekanan dan meningkatkan mood dalam kalangan warga tua. Komposisi karbohidrat yang tinggi (86.4 peratus), mengandungi zink serta nisbah tryptophan kepada pecahan-pecahan asid amino yang tinggi mungkin menjadi sebab yang mendasari kesan ini.
“Kajian lain bagaimanapun diperlukan untuk menentukan keberkesanan talbinah pada pelbagai tahap kemurungan selain kesannya kepada subjek berbeza seperti golongan dewasa dan remaja,” katanya.
Tambah Nur Hayati, di Malaysia beras dan gandum adalah bijirin pilihan kebanyakan orang, tetapi barli merupakan alternatif yang lebih sihat jika diamalkan.
Nur Hayati berkata, barli yang direndam juga dapat meningkatkan kadar vitamin, mineral, protein dan antioksidan di dalamnya.
Bagaimanapun, menurutnya, barli sebenarnya boleh diolah dalam pelbagai cara untuk pemakanan harian.
Bijirin barli sememangnya sangat berkhasiat dan dapat memberikan tenaga kepada tubuh badan.
Nur Hayati memberitahu, kajian santifik telah membuktikan bahawa barli mempunyai nilai pemakanan yang tinggi apabila diambil kesemuanya.

Terangnya, barli sangat kaya dengan vitamin, mineral dan sebatian bermanfaat.
“Bijirin ini mempunyai tekstur yang kenyal dan rasa kekacang yang membuatkannya serba boleh untuk diolah menjadi makanan yang enak untuk dinikmati,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat juga faktor sains berkaitan nutrisi barli yang menjadikan bijirin ini sebagai makanan sunnah iaitu berkaitan serat dan kandungan mineral di dalamnya memandangkan antara ciri makanan sunnah adalah mengandungi khasiat serta serat yang tinggi.
Menurutnya, barli kaya dengan serat dan apabila bijirin itu diambil sebagai gandum penuh secara khusus, ia kaya dengan serat molybdenum, mangan dan juga selenium.
Ia juga mempunyai nilai kuprum, vitamin B1, kromium, fosforus, magnesium dan niasin.
Tambah menarik, Nur Hayati menerangkan bahawa barli juga dapat membantu dalam proses penurunan berat badan.
“Barli mengandungi serat larut yang dapat mengurangkan rasa lapar dan juga mempercepatkan rasa kenyang. Ia sekali gus dapat membantu dalam penurunan berat badan.
“Serat larut yang juga dikenali sebagai beta-glukan ini amat membantu dalam proses ini. Beta-glukan ini membentuk bahan seperti gel dalam usus anda yang berfungsi untuk memperlahankan proses penghadaman dan juga penyerapan nutrien sekali gus mengawal selera anda dan menyegerakan rasa kenyang,” katanya.
Tambahnya, serat larut itu juga dapat menyasarkan pengurangan lemak perut yang mana lemak perut dikaitkan dengan masalah penyakit-penyakit metabolik.
Dalam pada itu katanya, barli juga dapat membantu memperbaik kesihatan usus dan penghadaman.

Jelasnya, nilai serat yang tinggi di dalam barli, membantu makanan bergerak di dalam usus dan meningkatkan keseimbangan bakteria di dalam organ itu yang memainkan peranan sangat penting dalam proses penghadaman.
Penambahannya di dalam najis akan membantu untuk mempercepatkan pergerakan usus dan mengurangkan risiko mengalami sembelit.
Jelasnya lagi, serat larut di dalam barli juga membantu menyediakan makanan kepada bakteria baik di dalam usus, untuk menghasilkan asid lemak rantaian pendek (SCFA).
Kajian menunjukkan bahawa SCFA memberikan makanan kepada sel usus, mengurangkan keradangan dan membaiki gejala-gejala masalah usus seperti sindrom iritasi usus (IBS), penyakit Crohn dan juga kolitis ulseratif.
“Kajian menunjukkan bahawa sarapan barli memberikan kenaikan kadar gula darah yang lebih rendah berbanding sarapan yang terdiri daripada bijirin-bijirin lain.
“Selain itu, manfaat lain yang ada pada barli adalah dapat mencegah masalah batu karang hempedu dan mengurangkan risiko pembedahan hempedu.
“Jenis serat yang didapati di dalam barli juga dipercayai dapat mencegah pembentukan batu karang dan mengurangkan risiko pembedahan akibat batu karang,” katanya.






