fbpx

Shuib nak tatap wajah, sentuh Ayash Affan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB kehilangan isteri, Siti Sarah yang juga ibu kepada empat orang anaknya, Isnin lalu.

PETALING JAYA – “Insya-Allah, kalau ada rezeki, (esok) hari ini saya akan dapat melihat Ayash Affan buat kali pertama.”

Demikian kata suami kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib yang teruja untuk bertemu dengan bertemu puteranya, Ayash Affan buat pertama kali.

“Anak-anak pun asyik bertanya. Insya-Allah, kalau ada rezeki esok, saya memang tak sabar nak tengok dan pegang dia (Ayash),” katanya teruja.

Anak keemp;at Shuib itu dilahirkan pramatang secara pembedahan setelah isteri Shuib, penyanyi Siti Sarah Raissuddin berdepan kemerosotan oksigen akibat serangan Covid-19.

Selang dua hari selepas ditidurkan untuk pembedahan melahirkan Ayash, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Isnin.

Tambah Shuib, memikirkan Ayash, pasti ada dua perasaan yang tentunya bermain dalam fikirannya. Pertama, dia pastinya teruja untuk melihat hadiah terakhir Sarah buatnya dan kedua, sedih kerana Sarah langsung tidak sempat melihat anak yang dikandung selama tujuh bulan itu.

“Perasaan saya bak tengok baby Ayash bercampur-baur. Saya seronok sangat. Semasa hari kematian Siti Sarah lagi saya ada buat permintaan tapi tak dapat. Esok (hari ini), insya-Allah. Perasaan kedua, sangat-sangat sedih sebab mak dia tak dapat dia pun. Dia tak dapat sentuh pun. Sarah menggadaikan nyawa hanya untuk memberikan hadiah terakhir buat saya,” ujar Shuib tersekat-sekat.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, selama ini, dia selalu berada di sisi isterinya melahirkan tiga orang anak mereka, tetapi tidak ketika kelahiran Ayash.

“Betullah, dia (Sarah) nak bagi hadiah kepada saya. Dia pilih nama, dia pilih tarikh 30 September (sepatutnya tarikh kelahiran), tapi dia tak sentuh dan tak tengok pun. Dia hadiahkan bulat-bulat untuk saya. Ini mesti saya akan jadi macam orang gila bercakap tentang Ayash kepada Sarah, sebab saya rasa macam dia masih ada, cuma tak nampak,” luah Shuib yang tidak memperincikan waktunya untuk melawat Ayash di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) hari ini.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai hari pertamanya tanpa bidadari syurganya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, tidak menafikan rasa rindu adalah satu perasaan yang berat dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Tipulah kalau saya cakap saya okey. Memang satu keadaan yang sangat pelik sebab sebelum ini, walaupun dia tak ada di rumah, tapi sekurang-kurangnya, saya tahu dia ada di hospital.

“Tapi (hari pertama dia tiada), apabila saya turun ke bawah, saya sedar dia memang dah tak ada. Cuma, bila rindu, perihal itu jadi sesuatu yang agak berat. Insya-Allah, masa akan mengubati dan rindu akan kekal selamanya,” kata Shuib dalam nada sedikit sebak.

Shuib berkata demikian pada majlis tahlil dan bacaan doa selamat yang diadakan secara maya malam tadi.

Berkongsi mengenai keadaan ketiga-tiga anaknya memahami dan semakin faham akan ketiadaan ibu mereka, jawab Shuib: “Anak yang ketiga, Ariq Matin anggap perut ibu dia macam bantal. Semalam, saya tidurkan dia bawah ketiak saya. Saya ingat dia dah tidur sebab diam.

“Tiba-tiba, dia kata, ‘Matin rindu ibu’. Itulah antara cabaran sebagai bapa. Itu memang lumrah manusia untuk rasa rindu. Tapi saya percaya mereka dah mula faham yang ibu mereka sudah tiada,” katanya.

Shuib dan Allahyarham Siti Sarah bernikah pada 26 Februari 2011 dan dikuniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI