fbpx
SHUIB terpaksa menangguhkan hasrat untuk melawat anak bongsunya di hospital hari ini atas nasihat doktor.

Hasrat Shuib nak jumpa ‘baby’ Ayash tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas empat hari dilahirkan, hasrat suami Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib Sepahtu untuk menatap wajah bayi mereka, Ayash Affan hari ini terpaksa dipendamkan atas nasihat pihak hospital mengelakkan sebarang risiko terhadap jangkitan Covid-19.

Pengurus Siti Sarah, Nana Mohammad Rom berkata, sepatutnya Shuib ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi namun terus membatalkan niat tersebut selepas mendapat panggilan telefon daripada pihak hospital.

“Pengarah HCTM sendiri menghubungi Shuib dan berbincang dengannya berhubung lawatan itu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap anak bongsunya yang dilahirkan pramatang.

“Shuib juga sangat memahami situasi pandemik semasa selain akur dengan saranan yang diberikan kepadanya.

“Sebagai ayah yang mementingkan kesihatan bayi serta semua yang berada di wad terbabit, dia menerima nasihat itu dengan hati terbuka.

“Shuib sedia menanti hingga keadaan Ayash betul-betul sihat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Malam tadi ketika majlis tahlil dan bacaan Yassin, pelakon dan pelawak itu menyuarakan rasa teruja apabila menerima gembira dibenarkan melihat bayinya, Ayash Affan yang kini masih berada dalam di HCTM.

Apatah lagi, jika berpeluang melihat anaknya di hospital, itulah juga akan menjadi detik pertama melihat dengan mata sendiri sosok bayinya yang dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.

Katanya pada majlis virtual itu, perasaan tidak sabar bertemu buah cinta yang juga dianggap hadiah terakhir isterinya turut bercampur baur.

Kongsinya lagi, keadaan yang dilalui kini cukup berbeza ketika dikurniakan tiga cahaya mata terdahulu apabila arwah berkesempatan melihat dan memeluk anak-anaknya.

Allahyarham Siti Sarah berada dalam keadaan ditidurkan melahirkan bayi lelaki pramatang selepas menjalani pembedahan hampir tiga jam bermula jam 2 petang pada Jumaat lalu.

Selain bayi yang dilahirkan ketika baharu memasuki usia lapan bulan dalam kandungan, Shuib dan Sarah dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE

POPULAR