KUALA TERENGGANU – Kehilangan seorang lelaki yang keluar memancing sejak Khamis minggu lalu terjawab berikutan penemuan mayatnya di tebing Sungai Terengganu berhampiran Kampung Sungai Rengas di sini malam tadi.
Mayat Mohd. Norhatta Mohd. Nadzar, 39, ditemui dalam keadaan meniarap di tebing sungai itu seorang lelaki yang kebetulan memasuki lokasi kejadian yang berhampiran sebuah dusun duku pada pukul 9.30 malam.
Bapa mertua mangsa, Abd. Rahman Mohamad, 70, berkata, penemuan mayat menantunya dimaklumkan anak perempuannya, Nurhafiza Abd Rahman, 37, yang juga isteri Mohd. Norhatta pada pukul 10.45 malam.
“Menantu saya (Mohd. Norhatta) keluar rumah kami di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini untuk keluar memancing pada Khamis lalu.
“Pada mulanya kami tidak syak perkara buruk akan berlaku memandangkan dia sudah biasa tidak balik selama beberapa hari setiap kali keluar memancing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Abd. Rahman berkata, tabiat Mohd. Norhatta itu menyebabkan dia sekeluarga juga tidak risau gagal dihubungi dalam tempoh empat hari ekoran menantunya tertinggal telefon bimbit di rumah.
Dia bagaimanapun mengesyaki Mohd. Norhatta terkena serangan jantung sewaktu sedang memancing di tebing Sungai Terengganu.
” Dia (Mohd. Norhatta) baru pulih daripada serangan jantung pada Hari Raya Aidiladha lalu.
” Menantu lelaki saya memang kurang sihat akibat masalah jantung sehingga tidak mampu bekerja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














