fbpx

Dia milik Allah, bukan milik saya – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB menganggap Siti Sarah sebagai wanita luar biasa yang mengubah dirinya menjadi siapa Shuib hari ini.

PETALING JAYA – “Isteri saya bukan milik saya, dia milik Allah dan Allah sangat sayangkan dia. Allah pinjamkan dia kepada saya sekejap sahaja dalam 11 tahun.”

Demikian ungkapan meruntun jiwa yang dikongsikan suami kepada Allahyarham Siti Sarah, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, menerusi siaran langsung (live) Instagram sebentar tadi.

Tenang mula menelan realiti pahit bahawa bidadari syurganya kini sudah tiada lagi di muka bumi, Shuib mengenang kesusahan hidup yang beransur-ansur dipermudahkan Allah SWT disebabkan tuah yang ditumpangnya sepanjang bergelar suami kepada wanita hebat itu.

“11 tahun yang sangat luar biasa untuk saya. Saya bermula daripada tiada apa-apa. Saya nikah dengan dia, saya hutang mas kahwin. Saya tiada kereta pun dia yang ambil saya kalau nak pergi berjalan-jalan.

“Saya pindah rumah pertama dan masih ingat, saya duduk dengan isteri saya atas surat khabar. Buka puasa, beli di bazar Ramadan.

“Tapi dia cakap dengan saya, dia akan ikut saya apa pun terjadi. Dia akan ada belakang saya. Dia akan sokong saya tapi dia beritahu saya, dia tak nak (hidup) susah,” katanya dalam nada teresak-esak dalam sesi live berkenaan.

Bertitik-tolak daripada itu, apa yang dibutirkan daripada bibir Allahyarham isterinya memberi anjakan semangat untuk mengubah nasib diri sekeluarga.

“Apabila dia cakap tak nak hidup susah, saya tanamkan satu azam dan saya cakap dia takkan susah tapi dia kena tolong, sokong dan doakan saya. Dia buat semua itu.

“Dalam apa sahaja keadaan, saya ingat lagi kami berniaga di bazar seperti di Kuala Selangor, dia tak pernah malu pun padahal dia sudah jadi artis.

“Baru menang Raja Lawak dan daripada tahun pertama, pergi ke tahun kedua dan ketiga, saya pindah rumah. Alhamdulillah rezeki saya makin baik saya dapat peluang ‘shooting’ dan ‘show’. Masih ingat lagi, saya menang Maharaja Lawak pada 2011, dialah orang yang duduk paling depan menjerit nama saya.

“Meraikan sang suami. Dahsyat padahal masa itu, saya ini jauh sangat kalau dibandingkan dengan dia. Saya memang tiada apa pun, Shuib sahaja. Orang tak kenal sangat,” ceritanya sukar menidakkan gejolak emosi.

Dedah Shuib lagi, Allahyarham isterinya ialah insan yang bertanggungjawab menolak dirinya untuk maju ke hadapan dan sebagai seorang suami, ujarnya, dia hanya menumpang tuah wanita tersebut dalam kehidupannya.

“Perjalanan diteruskan dan dia masih bersama dengan saya. Jatuh bangun saya buat bisnes macam-macam. Sampai ada momen saya nak berputus asa tapi dialah orang yang duduk kat belakang saya dan cakap ‘no you have to go, you can do this’.

“Dan, sebenarnya, dia memang tuah saya. Disebabkan dialah kalau orang cakap, ‘Shuib dahsyatlah kau pandai berniaga ada BubbleBee berpuluh cawangan’. Saya nak beritahu di sini, apa yang saya ada sekarang, bukan pasal saya. Saya tumpang tuah dia.

“Tuah seorang isteri yang taat, yang setia, yang tak pernah mengeluh dan yang tak pernah malu pun bersuamikan Shuib.

“Berbekalkan semua itu, saya ada di mana saya berada sekarang. Taklah saya hebat sangat tapi alhamdulillah. Yang paling penting, insya-Allah, saya harap dapat bantu ramai orang. Itu perjalanan saya 11 tahun dengannya,” dedah Shuib.

Shuib berkahwin dengan Siti Sarah Raissuddin, 37, pada 26 Februari 2011. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak cahaya mata termasuk, Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu melalui kaedah pembedahan semasa si ibu ditidurkan- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI