SHAH ALAM – Tiga anggota polis yang disyaki menerima suapan RM2,000 bagi mengelakkan seorang individu dikompaun kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, esok.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia berpangkat Lans Koperal dan Konstabel berusia 26 hingga 31 tahun bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini.
“Mereka dipercayai memperoleh suapan wang tunai tersebut daripada seorang individu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga anggota polis ditahan pukul 6 petang pada 29 Jun lalu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah RM2,000 kononnya bagi mengelakkan seorang individu dikompaun kesalahan PKP.
Mereka kemudiannya dilepaskan petang 30 Jun selepas keterangan diambil pihak SPRM Selangor.
Sementara itu, sumber turut memaklumkan seorang penolong jurutera pihak berkuasa tempatan juga akan didakwa kerana meminta dan menerima suapan kira-kira RM5,000 daripada seorang kontraktor sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di sebuah daerah, di negeri Selangor.
“Suspek ditahan SPRM Selangor kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Cawangan Klang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan suspek akan didakwa mengikut Akta SPRM 2009. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














