fbpx

Chopra tamatkan penantian India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHOPRA berjaya meraih pingat emas dalam acara rejam lembing untuk menamatkan penantian pingat India dalam olahraga. - AFP

 

TOKYO – India akhirnya berjaya menamatkan penantian lama untuk memenangi pingat emas dalam sukan olahraga di pentas Sukan Olimpik menerusi kejayaan atlet rejam lembing, Neeraj Chopra pada edisi Tokyo 2020.

Chopra, 23, mencipta kejutan sensasi untuk menjuarai aksi final rejam lembing lelaki dengan catatan sejauh 87.58 meter (m) di Stadium Olimpik kelmarin.

Jarak dilakukan juara Sukan Komanwel 2018 itu berjaya menewaskan dua pilihan utama dari Republik Czech, Jakub Vadlejch yang memenangi pingat perak dengan catatan 86.67m dan pemenang tempat ketiga, Vitezslav Vesely (85.44m).

“Keyakinan saya agak tinggi kerana berjaya memberikan prestasi terbaik sewaktu pusingan kelayakan sebelum ini. Saya yakin dapat melakukan yang lebih baik.

“Namun, saya sendiri tidak menjangka bahawa prestasi ini telah membolehkan saya memenangi pingat emas. Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata tetapi saya sangat gembira,” kata Chopra.

Chopra kini pemenang pingat emas kedua India melalui acara individu sejak Abhinav Bindra melakukannya dalam sukan menembak bagi kategori 10m air rifle pada Beijing 2008.

Kejayaan atlet dari Haryana itu juga secara tidak langsung telah menyelamatkan maruah kontinjen India kerana ia adalah pingat emas pertama negara berkenaan di pentas Tokyo 2020.

Secara keseluruhan, India yang menghantar 124 atlet daripada 18 jenis sukan cuma berjaya memenangi satu pingat emas, dua perak dan empat gangsa kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI