GEORGE TOWN – Kes positif Covid-19 yang menjangkau 20,000 sehari di samping peningkatan kes yang mendadak hampir di seluruh negara menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah September ini.
Rata-rata mereka masih khuatir akan keselamatan anak-anak di sekolah terutama murid sekolah rendah yang masih belum memahami sepenuhnya mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19.
Bagi bapa kepada tiga cahaya mata, Azmi Ibrahim, 39, dia berpendapat sewajarnya Kementerian Pendidikan menilai semula keputusan untuk membuka sesi persekolahan mengikut situasi semasa kes jangkitan Covid-19 demi keselamatan pelajar.
“Ketika ini kes mencecah 20,000 dan dijangka terus meningkat, tidak mustahil ia boleh mencecah ke angka yang lebih tinggi.
Ujarnya, Kementerian Pendidikan wajar menangguhkan pembukaan sekolah demi keselamatan pelajar sehingga kes positif bawah 2,000 sehari,” katanya di sini semalam.
“Pembawa virus mungkin ada pada sesiapa sahaja, kita tidak nampak, jadi sangat bahaya kepada anak-anak yang masih kecil ketika di sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, sebagai bapa kepada seorang anak, dia turut bimbang untuk membenarkan anaknya ke sekolah ketika ini.
“Keselamatan dan nyawa anak-anak adalah paling utama dalam keadaan sekarang,”ujarnya.














