PETALING JAYA – Kesesakan yang berlaku di hospital kerajaan ketika ini membuatkan golongan ibu sarat mengandung sukar untuk mendapatkan perkhidmatan sempurna ketika bersalin kerana terpaksa menunggu berjam-jam di wad kecemasan ekoran ketiadaan katil yang dipenuhi pesakit Covid-19.
Selain terpaksa bertarung nyawa melahirkan anak tanpa ditemani suami, mereka juga perlu bersiap sedia dari segi kewangan sekiranya hendak bersalin di hospital swasta yang menelan belanja besar.
Ada kes pesakit dibenarkan pulang enam jam selepas bersalin supaya tempat tersebut dapat diberi kepada ibu mengandung lain.
Seorang guru, Nor Azura Hamzah, 39, memberitahu, dia berhabis RM10,000 untuk melahirkan anak ketiganya secara pembedahan di sebuah hospital swasta baru-baru ini kerana tidak tahan menunggu selama lima jam di hospital kerajaan.
“Sebaik air ketuban pecah, saya bersama suami bergegas ke hospital kerajaan yang dekat dengan rumah, namun sebaik sampai petugas memaklumkan katil di wad bersalin sudah penuh.
“Selepas lima jam menunggu, saya buat keputusan untuk ke hospital swasta di Sungai Buloh. Kandungan perlu dikeluarkan secara pembedahan dan selepas ditahan beberapa hari akibat juandis, saya perlu bayar hampir RM10,000,” katanya.
Tambahnya, dia terkejut, namun reda kerana dia tiada pilihan lain dan yang penting anak dan dirinya selamat.
Sementara itu, seorang guru, Norzalila Nordin, 34, turut berkongsi pengalaman berdepan kesukaran itu.
“Saya segera meminta suami, membawa saya ke hospital apabila sudah merasa sakit pada pukul 5 petang 25 Julai lalu. Sebaik tiba, saya diminta tunggu di kerusi wad kecemasan kerana katil tidak cukup.
“Tujuh jam saya tunggu masih belum dipanggil sebelum saya ambil keputusan pergi ke sebuah hospital swasta di Wangsa Maju dan selamat bersalin pada pukul 3 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, kakitangan sebuah bank, Mohd. Nawawi Osman, 34, memberitahu, kesukaran berlaku apabila isterinya hendak melahirkan anak ketiga pada 22 Julai lalu.
“Kami pergi ke sebuah hospital di Selangor dan mereka memaklumkan yang katil sudah penuh sebelum saya ambil keputusan bawa isteri ke hospital swasta di Seri Kembangan. Biarlah jauh dan mahal sikit asalkan kedua-duanya selamat,” katanya.
Di Pulau Pinang, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Ayu, 32, berkata, dia perlu menunggu di atas kerusi di luar wad bersalin sebuah hospital kerajaan selama sembilan jam bermula pukul 9 pagi sebelum mendapat giliran.
“Kesesakan berlaku kerana ada pesakit lain yang dihantar untuk bersalin ke hospital itu. Walaupun lambat tetapi proses kelahiran berjalan lancar.
“Ada yang bersalin di atas kerusi menunggu tanpa sempat masuk wad tetapi dibantu oleh petugas kesihatan. Ada kes diminta pulang enam jam selepas bersalin,” katanya.
Tambahnya, layanan diberi sama rata berbanding sebelum ini yang mempunyai wad mengikut kelas.
Di Johor Bahru, seorang suri rumah, Hazwani Hussain, 32, terpaksa menunggu empat jam sebelum dibenarkan masuk ke wad bersalin.
“Namun, saya diminta keluar wad sebelah petang untuk memberi peluang kepada orang lain berbeza dengan sebelum ini,” katanya.

Bakal ibu berdebar, bimbang
PETALING JAYA – Isu hospital kerajaan sesak hingga memberi kesan kepada wad bersalin membuatkan ibu hamil berdebar untuk melahirkan anak masing-masing.
Di Kuala Terengganu, Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan, 32, memberitahu, dia sedikit tertekan sementara menanti hari kelahiran anak kedua yang dijadualkan pada hujung tahun ini di Hospital Dungun.
“Suasana ketika ini amat mencabar kerana perlu patuhi prosedur operasi standard dan melakukan ujian saringan sebelum dibenarkan masuk dewan bersalin. Saya perlu kuat emosi dan fizikal,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin.
Tambahnya, dia juga bimbang sekiranya mempunyai komplikasi selepas bersalin sekiranya terkena jangkitan wabak Covid-19.
Di Alor Setar, Qathrulnada Juhari, 36, berkata, dia bimbang bagaimana keadaannya nanti ketika hendak melahirkan anak keempatnya yang dijadualkan pada bulan depan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Saya dengar hospital tak cukup katil. Saya sudah mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental selain sering berhubung dengan jururawat dan doktor di klinik desa untuk khidmat nasihat dan perkembangan terkini HSB,” katanya.
Tambahnya, dia bercadang untuk bersalin di hospital swasta sekiranya keadaan memerlukan dan tidak kisah untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Seorang lagi ibu mengandung, Nor Sharkinah Abdullah, 30, mengakui dia kini gusar dengan keadaan tersebut apatah lagi kandungan sulungnya memasuki usia tujuh bulan.
“Bersalin di hospital kerajaan menjadi keutamaan saya kerana ia murah dan terjamin tambahan pula saya tak mampu ke hospital swasta kerana pendapatan saya dan suami turut terjejas ketika pandemik.
“Kalau terpaksa juga bersalin di hospital swasta, saya cari yang tawarkan pakej paling murah,” katanya.














