KALAU dahulu, dekorasi untuk rumah hanya mengetengahkan satu konsep sahaja, kalau ada yang cuba memberikan kelainan dengan menggabungkan dua konsep sebagai contoh tradisional dan moden akan dianggap menentang arus.
Kini, se,ua itu sudah berlalu dan ramai yang berani menampilkan lebih daripada dua konsep utuk kediaman masing-masing dengan tata rias yang kemas, menarik dan elegan sesuai dengan peredaran zaman.
Rata-rata berpendapat, biarpun banyak konsep ditonjolkan, kena pandai bermain dengan warna dan rona tertentu bagi membangkitkan aura kediaman masing-masing kelihatan ‘hidup’.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————-
Berbunga riang hati ketika pertama kali mengintai kediaman milik pasangan suami isteri, Ts. Muhammad Shafiq Ilham dan Noorrazidah Azmi menerusi akaun instagram khas rumah yang dihuni iaitu @ruma.duatujuh.
Biarpun situasi pandemik semasa menyebabkan penulis hanya mampu melihat ruang tersebut menerusi paparan telefon bimbit, namun ia
sudah cukup memuaskan hati tatkala melihatkan susun atur dan dekorasi yang cukup sempurna itu.
Terletak di Saujana Perdana, Selangor, kediaman jenis teres dua tingkat berkeluasan 162 meter persegi itu mengetengahkan tiga konsep yang berjaya digarap sempurna.
Menurut Noorrazidah yang merupakan eksekutif strategik dan perhubungan korporat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang, mereka suami isteri bersepakat menggabungkan unsur tradisional, moden dan farmhouse pada kediaman tersebut.
“Dengan mengintegrasikan ketigatiga gabungan konsep ini, rumah kami tidak terikat dengan hanya satu konsep dominan. Mengambil ruang dapur sebagai contoh, konsep farmhouse diterapkan pada rekaan sinki dan juga backsplash.

“Konsep tradisional pula dapat dilihat pada reka bentuk kabinet dapur berserta penutup hood dengan penambahan rak terbuka dan bertingkat berwarna brass keemasan.
“Secara tidak langsung ia mampu memberi impak moden, tetapi pada masa sama masih mengekalkan fungsinya iaitu dapat menjadi tempat untuk meletakkan barang dan mempamerkan aksesori hiasan rumah,” ujar Noorrazidah kepada K2.
Jika dilihat sekali imbas, kediaman tersebut banyak menggunakan rona monokrom yang diselitkan dengan rona emas pada bahagian aksesori bagi membangkitkan lagi aura konsep dipilih.
Bagaimanapun, jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu, tidak hanya menggunakan rona-rona tersebut semata-mata, mereka sebaliknya
menyeimbangkan penggunaan warna bersesuaian dengan konsep dipilih.
Sebagai contoh di ruang tamu, perabot menggunakan warna natural beige serta kabinet televisyen diberikan sentuhan warna putih dalam menata rias sudut berkenaan.
Sementara itu, di ruang dapur pula, warna-warna gelap seperti hitam dengan sedikit campuran elemen putih pada counter top dan rona brass keemasan bagi rak terbuka menjadi pilihan.
Kongsi Noorrazidah lagi, susun atur dan dekorasi di dalam kediaman itu 100 peratus dilakukan olehnya dan suami tanpa mendapatkan sebarang khidmat pakar hiasan dalaman.
Katanya, kerja-kerja dekorasi dilakukan bersama suami kerana minat mendalam dalam bidang tersebut.
Mula mendiami kediaman pertamanya itu pada Januari 2020, Noorrazidah dan suami pada awalnya tidak melakukan sebarang pengubahsuaian besar.
Sebaliknya mereka menumpukan pada ruang-ruang asas dan penting seperti ruang tamu, dapur dan tempat makan.

Disebabkan itu, wanita itu mengakui mengambil masa lama untuk menyiapkan sudut-sudut dalam kediaman tersebut. Bagaimanapun, ia berbaloi apabila melihatkan hasil sentuhan yang sungguh estetik.
“Kami sering berkongsi idea untuk mendekorasi satu-satu ruang.
“Selalunya saya mendapat ilham inspirasi daripada carian Pinterest dan rancangan dekorasi rumah daripada saluran Netflix iaitu Dream Home Makeover dan pereka rumah antarabangsa terkenal seperti Shea Mcgee dari Studio Mcgee dan Joanna Gaines bintang HGTV, daripada rancangan Fixer Upper,” katanya.
Memilih untuk menerapkan tiga konsep pada kediaman, menurut Noorrazidah, aspek utama yang ditekankan pada sesuatu ruang rumah dengan menggabungkan elemen natural seperti dekorasi berasaskan kayu dan rona tanah atau beige.
Atas faktor itu juga, keseluruhan ruang langsung tidak kelihatan sebarang cacat cela. Sebaliknya ia begitu senada dan harmoni biarpun realitinya pemilik menggabungkan tiga konsep berbeza.














