fbpx
AZHAR sering mengganggu kehidupan Hani selepas mereka bercerai dan mahu rujuk kembali, namun ditolak oleh wanita itu. – GAMBAR HIASAN

Berfikir sebelum bertindak, jangan jadi gila talak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH rumah tangga  berkahwin, bertengkar, bercerai sudah menjadi asam garam dalam kehidupan manusia sejak dahulu lagi.

Inilah yang berlaku kepada Azhar dan Hani (bukan nama sebenar) perlu dijadikan iktibar oleh semua dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Masalah kewangan akibat gagal dalam bisnes mungkin memeritkan, tetapi tidak perlu difikirkan sangat sehingga mencederakan pasangan.

Hargailah isteri yang setia menyokong dan membantu menghukurkan tangan di saat suami bangun atau ‘rebah’.

Jangan sampai menyesal selepas bercerai dan menjadi gila talak.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

 

Perkahwinan antara Azhar dan Hani (bukan nama sebenar) yang dibina hampir 10 tahun akhirnya terlerai selepas masing-masing memilih membawa haluan sendiri.
Perceraian pasangan yang dikurniakan dua orang cahaya mata itu berlaku disebabkan masalah kewangan yang menghimpit kehidupan.

Masalah itu timbul selepas Azhar yang bekerja sebagai eksekutif jualan bertindak berhenti kerja bagi memulakan perniagaan di ibu kota.

Azhar yang ketika itu berusia 35 tahun memilih memulakan perniagaan trak makanan dengan menjadikan lokasi tumpuan pelancongan sekitar Kuala Lumpur sebagai tempat jualan.

Bagi memulakan perniagaan berkenaan, Azhar membuat pinjaman bank sebanyak RM80,000 bagi membeli lori dan peralatan berkaitan.

Selepas hampir enam bulan menjalankan perniagaan, keuntungan diharapkan tidak menjelma, sebaliknya Azhar sering tertekan untuk membayar hutang pada setiap bulan.

Sebagai seorang isteri, Hani tidak ada masalah untuk membantu Azhar menyelesaikan hutang suaminya memandangkan dia mempunyai pekerjaan stabil sebagai akauntan di sebuah institusi kewangan.

Bagaimanapun, Azhar sering berasa dirinya seorang suami yang tidak bertanggungjawab apabila sering meminta Hani menyelesaikan hutangnya setiap bulan.

“Perniagaan Azhar akhirnya ‘bungkus’ disebabkan kurang pengalaman dalam pengurusan. Ini membuatkan dirinya bertambah kusut serta emosi kerap terganggu.

“Disebabkan itu, saya dan dua anak kecil kami sering menjadi mangsa herdikan Azhar setiap kali dia dalam keadaan tertekan. Apabila diajak berbincang, dia memaki hamun saya,” kata Hani.

Kemuncaknya pada satu malam, kesabaran Hani tidak dapat dibendung lagi apabila Azhar mula naik tangan.

Muka Hani dipukul sehingga lebam, manakala lehernya pula dicekik.
Anak-anak yang melihat kejadian itu hanya mampu menangis dengan harapan agar Azhar segera melepaskan Hani.

Keesokan harinya, Hani segera berkemas dan perlahan-lahan keluar dari rumah bersama anak-anak pulang ke rumah kedua-dua ibu bapanya di satu daerah di Selangor.

“Saya ke balai polis terlebih dahulu untuk membuat laporan serta memohon perlindungan. Selepas itu, saya balik ke rumah ibu bapa saya bagi mengelak terus dipukul oleh Azhar.

“Azhar telah diberi amaran keras oleh pihak polis supaya tidak terus mengganggu saya. Saya juga telah memfailkan perceraian di mahkamah syariah,” katanya.
Hani berkata, dia telah menjangkakan dari awal lagi bahawa Azhar tidak akan hadir ke mahkamah syariah apabila dipanggil untuk perbicaraan kes penceraian tersebut.

Selepas berbulan-bulan turun naik mahkamah syariah, akhirnya Azhar bersetuju untuk menceraikannya dengan talak satu.

Dalam hal ini, Hani tidak membuat sebarang tuntutan harta sepencarian daripada Azhar.

PERANGAI Azhar berubah menjadi baran kerana stres dengan bebanan hutang yang perlu dilangsaikan setiap bulan selepas perniagaan yang diceburinya terpaksa gulung tikar.

Baginya, perceraian dengan Azhar merupakan satu rahmat kepadanya dan anak-anak selepas melalui pelbagai peristiwa memeritkan.

“Ketika perbicaraan, saya ada ditanya oleh mahkamah mengenai harta sepencarian. Saya memilih untuk memberi semuanya kepada Azhar termasuk kereta dan rumah.

“Paling penting, saya dapat hidup bebas bersama anak-anak.

“Saya yakin rezeki sentiasa ada pada masa depan. Lagipun Azhar lebih memerlukan harta itu,” katanya.

Tidak sampai dua bulan mereka berpisah, Azhar kembali mengganggu hidup Hani dan anak-anak secara lebih agresif.

Azhar sering mengugut menerusi WhatsApp supaya mereka dapat merujuk kembali, jika tidak mahu kerjaya dan kehidupannya terus diganggu.

“Ingatkan selepas beri semua harta sepencarian dapatlah saya hidup dengan tenang.

“Azhar tidak henti-henti mengganggu saya termasuk mengirim mesej ugutan untuk menyimbah asid ke atas tubuh saya, namun saya sedikit pun tidak takut dengan ugutan tersebut.

“Ada ketikanya, Azhar datang ke rumah dan pejabat saya untuk bersemuka. Tindakan Azhar itu seperti seorang gila talak dan tidak boleh hidup tanpa saya,” katanya.

Malah, Azhar beberapa kali pergi ke mahkamah syariah untuk merujuk kembali perkahwinan mereka. Bagaimanapun, Hani tidak pernah hadir ke mahkamah.

Menurut Hani, dia memang berasa kasihan dengan kehidupan Azhar selepas mereka bercerai, namun enggan merujuk kembali dengan bekas suaminya itu kerana memikirkan keselamatan diri dan anak-anak.

“Cukuplah sekali hidup bersama dengan Azhar. Tidak mungkin boleh terima dia kembali dalam hidup selepas apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN